November 22, 2024

Search
Close this search box.

200 bekas kakitangan hadiri Majlis Reunion Pesara UTM-ITK

JOHOR BAHRU,  4 Mac 2018 –  Lebih 200 bekas kakitangan Universti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) telah menghadiri Majlis Reunion Pesara ITK-UTM.

Prof. Wahid bergambar kenangan dengan Ahli Jawatankuasa dan juga ahli PESUTM selepas Majlis Reunion Pesara UTM-ITK di Dewan Alumni, UTM Johor Bahru.

Majlis itu telah diadakan di Dewan Alumni, kampus Johor Bahru bersempena dengan Mesyuarat Agung Persatuan Pesara UTM kali ke-7 anjuran Persatuan Pesara UTM (PESUTM).

Setiausaha PESUTM Ismaal Samat berkata, program berkenaan adalah yang pertama  diadakan sejak kelulusan penubuhan persatuan itu pada 26 Mei 2011 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Majlis yang bertemakan ‘Tautan Ukhuwah Dahulu, Kini dan Selamanya’ itu dianjurkan dengan matlamat utamanya mengekalkan hubungan sillaturrahim yang berterusan antara ahli persatuan dengan pentadbiran UTM.

“Ia juga bertujuan menyatukan para pesara yang pernah berkhidmat di UTM, ITK dan juga Maktab Teknik di samping menjalankan kegiatan kebajikan dan sosial yang berfaedah untuk diri serta keluarga mereka,” katanya.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua PESUTM, Prof. Emeritus Dr. Ismail Kailani disusuli dengan ucapan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

“Dalam ucapannya, Naib Canselor nyata amat gembira dengan perkembangan PESUTM yang semakin aktif dan bertambah keahliannya.

“Prof. Wahid juga turut melahirkan rasa bangga beliau terhadap golongan pesara kerana masih sayangkan UTM menerusi penglibatan mereka yang aktif dalam persatuan,” katanya.

 

 

Explore More