April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM nyahmasin air laut untuk kegunaan penduduk Kampung Senok

BACHOK, 3 Feb 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) berjaya membangun dan membekalkan sistem penyahgaraman air laut bagi kegunaan penduduk di Kampung Senok, Bachok Kelantan.

Datuk Dr. Awang Adek mengisi air laut yang telah dinyahmasin ke dalam botol untuk diagihkan kepada penduduk.

Ketua Projek, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, penghasilan sistem rawatan air bersih dan selamat itu adalah hasil teknologi penyelidik tempatan yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, menerusi geran Translational Research Project (TR@M) di bawah Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan.

“Program ini dijayakan dengan kerjasama 16 orang penyelidik tempatan daripada UTM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diketuai oleh Naib Canselornya Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar.

Dato’ Seri Haji Idris dan Datuk Dr. Awang Adek minum air yang dirawat.

“Kami mendapat kerjasama dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Jajahan Bachok dan penduduk kampung yang turut terlibat dalam menjayakannya melalui runding cara dan khidmat nasihat,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM.

Majlis pelancaran sistem itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar,  Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Sri Dr Daing Mohd Nasir Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Profesor Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Dato’ Seri Idris menandatangaan plaque perasmian di loji penyahmasinan air laut.
Jurutera Projek Ng Be Cheer menunjukkan kepada Dato’ Seri Idris air laut yang telah dirawat.

Beliau berkata, pembangunan dan pemasangan sistem yang berkemampuan menampung keperluan kira-kira 3,300 pengguna sehari itu mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan.

“Sistem ini berkeupayaan menapis dan merawat sumber air mentah dari laut di sekitar pesisir pantai dan mampu menghasilkan air bersih terawat sebanyak 500,000 liter sehari (500m3/hari),” katanya.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, sistem itu akan menjadi model dalam penyelesaian masalah air yang merupakan satu Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan.

Beliau berkata, teknologi membran yang dihasilkan oleh AMTEC UTM mampu mengatasi masalah kekurangan air bersih terrawat yang dihadapi oleh penduduk di negara.

“Masalah kekurangan air bersih yang dihadapi oleh penduduk di negara ini sama ada ketika bencana alam seperti banjir atau gempa bumi dapat diatasi menerusi sistem rawatan air menggunakan teknologi membran,” katanya.

Manakala, Datuk Seri Idris Jusoh pula mengucapkan tahniah kepada UTM dan UMT kerana telah berjaya membantu penduduk Kampung Pantai Senok mengatasi masalah kekurangan air dengan membekalkan sistem penyahgaraman air laut.

Beliau berkata, sistem itu dibangunkan menggunakan peruntukan geran penyelidikan translational berjumlah RM 5 juta hasil kerjasama UTM dan UMT.

 

Explore More