April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM bekal sistem penyahgaraman air laut di Pantai Senok

BACHOK, 3 Feb 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat  Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) berjaya merealisasikan program pembangunan dan pembekalan sistem penyahgaraman air laut bagi penduduk di Kampung Senok, dekat sini.

Ketua Projek, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, penghasilan sistem rawatan air bersih dan selamat itu adalah hasil teknologi penyelidik tempatan yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, melalui geran Translational Research Project (TR@M) di bawah Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan.

Beliau berkata, program itu dijayakan dengan kerjasama 16 orang penyelidik tempatan daripada UTM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang membantu menyeediakan kemudahan infrastrujtur yang diketuai oleh Naib Canselornya Profesor Dato’ Dr Nor Aieni Hj. Mokhtar.

“Projek ini mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) Jajahan Bachok dan penduduk kampung yang turut terlibat dalam menjayakannya melalui runding cara dan khidmat nasihat pelaksanaan program,” katanya.

Majlis pelancaran projek itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh.

Turut hadir  Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Pengerusi MARA Datuk Dr. Awang Adek Hussin,  Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor UMT Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar.

Profesor Dr. Ahmad Fauzi yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) berkata, pembangunan dan pemasangan sistem yang berkemampuan menampung keperluan kira-kira 3,300 pengguna sehari mengambil masa selama lima bulan.

“Sistem ini mampu menghasilkan air bersih terawat berkapasiti 500,000 liter sehari (500m3/hari) dan berupaya menapis dan merawat sumber air mentah dari laut di sekitar pesisir pantai.

“Selain dapat memanfaatkan kepada penduduk setempat, sistem berkenaan diharap dapat menjadi daya tarikan baharu kepada warga tempatan kerana mendedahkan teknologi baharu bagi rawatan air mentah kepada penduduk setempat.  

Beliau berkata, penyahgaraman merupakan antara kaedah alternatif yang dikenal pasti dapat memastikan sumber air yang mencukupi dan konsisten di negara ini.

Sebagai contoh, Singapura telah mengguna pakai kaedah penyahgaraman air laut sebagai alternatif sumber air mentah di mana 25 peratus keperluan air negara itu diperolehi melalui empat loji sedia ada.

Selain itu, teknologi seumpama ini juga telah digunapakai di 15 buah negara.

 

Selain UTM dan UMT, pihak Penyelaras DUN Tawang, pihak berkuasa tempatan jajahan Bachok, Pengurusan TNB Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd, MTM Sdn. Bhd dan penduduk kampong antara yang turut terlibat dalam menjayakan projek kepada komuniti ini.

 

 

Explore More