April 26, 2024

Search
Close this search box.

Menteri Pendidikan Tinggi sertai dialog universiti dan industri

JOHOR BAHRU, 5 Februari 2018 – Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh mengadakan perbincangan dengan lebih 50 wakil industri dan universiti bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua belah pihak.

Dato’ Seri Idris menyampaikan pembentangan kepada wakil universiti dan industri di Dewan Sultan Iskandar.

Program yang dikenali sebagai Dialog Universiti-Industri itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama bagi menyatukan dunia industri dan akademia tanpa pemisah di bawah payung “Industry and Academia are One”.

Menerusi program berkenaan, universiti dan industri dapat mewujudkan perkongsian strategik yang berteraskan hubungan profesional sebagai jambatan utama dalam melahirkan graduan bagi memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.

Dialog itu membabitkan industri, Universiti Awam (UA), Institutsi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pelbagai bidang.

Wakil dari pelbagai industri bersama Dato’ Seri Idris menjawab soalan daripada hadirin.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih menjadi tuan rumah bagi Zon Selatan dengan kerjasama Universiti Tun Hussesin Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Dalam dialog itu, Dato’ Seri Idris memberitahu pihak industri bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seperti yang dikehendaki oleh industri.

Beliau berkata, iCGPA telah dirangka sebagai satu mekanisme pentaksiran dan pelaporan pencapaian pelajar dan menjadi satu mekanisme bersepadu pentaksiran, pelaporan pencapaian dan pembangunan pelajar yang mengambil kira peningkatan adab, keilmuan dan keupayaan mereka.

Dato’ Seri Idris menandatangani plaque University-Industry Pavilion.

“Mekanisme ini bertujuan memacu pembangunan dan penjajaran dalam reka bentuk, penyampaian dan pentaksiran kurikulum di peringkat program dan peringkat kursus agar menfokuskan pengalaman pembelajaran pelajar ke arah pembangunan insan yang holistik dan seimbang.

“Menerusi program ini pelajar kita mampu berkomunikasi dengan baik, mempunyai pemikiran kritikal yang mendalam di samping memiliki keputusan akademik yang cemerlang,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kepada pihak industri bahawa KPT turut memperkenalkan program 2U2I yang mana pelajar boleh bersama induistri selama dua tahun sepanjang tempoh pengajian mereka selama emat tahun di universiti.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menggalakkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk datang ke universiti bagi menjadi Profesor Adjung dan sama-sama mengajar dalam program CEO Faculty.

Sehingga kini terdapat seramai 72 CEO industri dari dalam dan luar negara yang beroperasi di negara ini telah menyertai program berkenaan dan lebih ramai lagi diperlukan bagi menyumbang kepakaran mereka kepada universiti.

“Mereka boleh datang ke universiti untuk mengajar dan membentuk kurikulum agar relevan dengan industri dan dalam masa yang sama memberi pendedahan kepada pensyarah,” katanya.

Wakil universiti dan industri bergambar di hadapan University-Industry Pavilion.

Dato’ Seri Idris turut meminta pihak industri memberitahu jumlah graduan yang mereka perlukan dan bila diperlukan serta menggesa mereka supaya datang ke universiti dan beritahu apa yang mereka kehendaki.

Sesi dialog yang berlangsung selama hampir dua jam itu dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Wahid Razzaly, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri Prof Dr Arham Abdullah.

Pada program berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi menyaksikan simbolik kerjasama universiti dan industri melalui pertukaran dokumen perjanjian antara Hospitage Sdn Bhd, Mark & Force Sdn Bhd dan Alcon A Norvatis Division dan UTM.

Manakala GTEX Asia Sdn Bhd, IXIA Pte Ltd, dan Systematic Competency Alliance Sdn Bhd bertukar dokumen dengan Politeknik Mersing.

Kemuncak acara itu diakhiri dengan penyampaian penghargaan UTM kepada  Schlumberger WTA (M) Sdn Bhd atas kerjasama syarikat gergasi itu  menyumbangkan lesen perisian berkaitan kejuruteraan petroleum yang bernilai USD 11.3 juta (RM48 juta) bagi kegunaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, Dato’ Seri Idris turut menyampaikan Biasiswa Aminudin Wahid kepada tiga  orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) UTM iaitu Siti Khadijah Lukman, Koo Khong Nee dan Lee Shi Yan yang bernilai RM 344,000 seorang untuk enam semester.

Beliau kemudiannya merasmikan University-Industry Pavilion yang mempamerkan logo-logo industri sebagai simbolik penghargaan kerjasama antara UTM dan industri.

Explore More