Disember 19, 2024

Latihan Simulasi Kejadian Bencana Tanah Runtuh di Taman Idaman, Serendah, Selangor

Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) dengan kerjasama Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Selangor akan mengadakan Latihan Simulasi Kejadian Tanah Runtuh atau dikenali sebagai CPX-Idaman 2018 (Command Post Exercise, CPX) di Taman Idaman, Serendah, Selangor pada 27 Februari 2018 (Selasa).

Program ini adalah sebahagian aktiviti yang direncanakan di bawah Projek ICT & Disaster Resilient bertajuk Community-based Disaster Informatics for Building Resilient Cities (EBC-K) dengan kerjasama National Information Society Agency (NIA) Korea dan Asia Pacific Telecommunity (APT) Thailand yang dilaksanakan oleh pihak UTM dan dipantau oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Program pengurangan risiko bencana berimpak tinggi ini diadakan di peringkat daerah, Hulu Selangor yang mempunyai penduduk 200,000 orang, dan berpotensi diperkembangkan ke daerah-daerah lain di Negeri Selangor.

Latihan Simulasi CPX-Idaman 2018 ini adalah fokus kepada pelaksanaan penglibatan komuniti dalam tindakan awal bencana. Tugas dan tanggungjawab Ketua Komuniti dan Komuniti sebelum, semasa dan selepas bencana diperincikan lagi serta tindakan yang perlu diambil oleh mereka sebelum bantuan tiba. Penglibatan Ketua Komuniti dan Komuniti setempat amat memainkan peranan utama dalam pengurusan bencana melalui penyaluran tanda-tanda awal bencana serta tindakan awal semasa berlakunya bencana. Penglibatan kumpulan ini adalah sejajar dengan hasrat yang dimeterai diperingkat antarabangsa melalui Sendai Framework for Disaster Risk Reduction (SFDRR) 2015-2030, yang mana penekanan terhadap penglibatan secara total kumpulan komuniti dalam pengurangan risiko bencana sekaligus mengurangkan kerosakan dan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa. Manakala diperingkat kebangsaan, Kerajaan menggunapakai Pengisytiharan Melaka bagi Pengurangan Risiko Bencana (2011), dan merumuskannya melalui Platform Nasional bagi Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia (2013). Teras Strategik 4 dalam Rancangan Malaysia ke-11 juga menjadi dasar kepada pengukuhan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana yang menunjukkan peri pentingnya keperluan tindakan dan keutamaan untuk mengurangkan risiko bencana.

Pengalaman kejadian runtuhan tanah di Taman Idaman, Serendah Selangor pada tahun 2016 telah menjentik untuk pasukan penyelidik mencadangkan suatu kaedah peredaan dan pengurangan risiko bencana. Berdasarkan keupayaan kajian terhadap penggunaan Information & Communications Technology (ICT) sedia ada, pasukan penyelidik telah membangunkan suatu sistem komunikasi ringkas yang boleh diguna pakai di setiap peringkat bermula daripada peringkat komuniti sehinggalah kepada pembuat dasar. Bagi pelaksanaan projek kajian ini, maka pihak UTM KL telah mengambil inisiatif untuk mengadakan latihan pengurusan bencana berasaskan simulasi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, Selangor. Pengujian   (Test-bed) sistem komunikasi yang dibangunkan oleh Pasukan Penyelidik UTM KL melalui pembiayaan projek oleh kerajaan Korea Selatan melalui Extra Budgetary Contribution – Republic of Korea (EBC-K) akan melihat koordinasi penglibatan kumpulan komuniti dalam pengurusan bencana melalui aplikasi ICT.

Latihan simulasi ini diharap dapat meningkatkan bukan sahaja kecekapan pasukan penyelamat, tetapi juga mengambilkira penglibatan komuniti dalam penyaluran makluman awal sebelum terjadinya bencana. Selain ini, pembentukan koordinasi mantap antara agensi terlibat dalam pengurusan bencana terutamanya anggota Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Selangor dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dalam merencana kelancaran perancangan, pelan tindakan, tindakbalas dan juga langkah mitigasi yang dapat menyumbang kepada mengurangkan kerosakan harta benda, kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Program pada hari ini juga berjaya menghimpunkan seramai lebih daripada 250 orang pengamal dan pengurus bencana di peringkat Daerah Hulu Selangor khususnya dan Negeri Selangor amnya, serta penglibatan Pasukan Kajian daripada UTM KL, dan lain-lain penyertaan dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti, ketua-ketua komuniti dan juga komuniti setempat. Turut terlibat pada hari ini adalah Pasukan Berkecuali yang terdiri daripada Pegawai Pemerhati dan Pegawai Penilai, seperti dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma Malaysia), Hospital Selayang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, program ini bertujuan untuk membantu usaha berterusan agensi pengurusan bencana dipelbagai peringkat dalam memenuhi mandat mereka untuk membina daya tahan komuniti terhadap bencana terutamanya bencana tanah runtuh. Ia juga menggalakkan ahli akademik, penyelidik, individu, kerajaan, dan juga komuniti dan menggalakkan mereka untuk mewujudkan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komuniti (Civil Defence Emergency Response Team-Community,   CDERT-C), sebuah organisasi sukarelawan setempat bagi mengambil bahagian aktif dalam membina daya tahan komuniti terhadap bencana. Program ini cuba mengetengahkan pembangunan model bagi pengurusan risiko bencana dikalangan masyarakat (learning-by-doing) dan mempromosikan pengurusan risiko bencana.

Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) dengan rakan strategik di peringkat nasional dan juga antarabangsa memainkan peranan utama dalam membangunkan modal insan dan ekosistem pengurangan risiko bencana dan pembentukan komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana di Malaysia. Program berimpak tinggi seperti ini mempromosikan penglibatan pelbagai pemegang taruh dan kepelbagaian bidang kepakaran dalam memerangi isu risiko bencana dan mengurangkan kadar kematian akibat bencana. Untuk itu, UTM KL amat komited dan optimis bagi membantu Malaysia mencapai hasrat mempunyai komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana melalui hasil kajian-kajian yang dijalankan.

Explore More