Disember 6, 2024

Search
Close this search box.

Dato’ Seri Idris Jusoh naik bas elektrik ke Dialog Universiti-Industri

JOHOR BAHRU, 5 Februari 2018 – Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh berpeluang merasai pengalaman menaiki bas elektrik “EV UniBus” semasa menghadiri Dialog Universiti-Industri di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dato’ Seri Idris melihat bas elektrik sebelum menaiki untuk ke Dialog Universiti-Industri.

Beliau ditemani oleh Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar dan pegawai kanan universiti menaiki bas berkenaan dari kediaman rasmi Naib Canselor ke Dewan Sultan Iskandar (DSI).

UTM menjadi Universiti Awam (UA) pertama di negara ini yang menggunakan bas berkenaan yang merupakan projek sinergi antara Comos, MaraLiner dan GoAuto dengan UTM.

Profesor Datuk Dr Wahid mengiringi Dato’ Seri Idris menaiki bas sambil mendengar taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Comos, Syed Malek Faisal Syed Mohamad.

 “EV UNiBus” adalah bas pertama di kampus yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan mampu bergerak sehingga 80 km sejam.

Keunikan bas tersebut mampu mengecas semula bateri sehingga penuh hanya dalam masa 20 minit menggunakan Super Quick Charging Station.

Kenderaan ini dilengkapi dengan bateri Lithium berkualiti tinggi dengan 88kwh LpTO dan boleh dicas semula sebanyak 15 ribu kali dan mempunyai jangka hayat sehingga 10 tahun.

Dato’ Seri Idris menyaksikan penyerahan bas oleh Syed Malek Faisal kepada Profesor Datuk Dr Wahid.

Di samping itu, kenderaan berkenaan adalah bas elektrik pandu sebelah kanan pertama di rantau Asia Tenggara yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar bas Higer yang berpengkalan wilayah Jiangsu, China.

Penggunaan bas berkenaan adalah salah satu inisiatif bagi “Low Carbon Campus” yang dijalankan di bawah teras Mobiliti Hijau melalui Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030.

Bas berkenaan berjaya mengurangkan gas karbon dioksida sebanyak 300 tan setahun yang menyamai kadar penghasilan dari 7,750 pokok selain berpotensi menjimatkan bahan bakar sehingga 60 peratus berbanding penggunaan diesel.

Bas berkenaan masih dalam tempoh percubaan selama dua bulan untuk disesuaikan dengan bentuk muka bumi UTM yang berbukit.

UTM bercadang untuk menukarkannya dengan bas berenjin diesel secara berperingkat-peringkat.

 

Sedutan Berita TV3 mengenai Bas Elektrik UTM

https://www.facebook.com/BeritaTV3/videos/2078564668825370/

Explore More