Disember 6, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Januari 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kerjasama saintifik sedia ada dengan Lembaga Saintifik dan Teknikal Penyelidikan Argentina (CONICET).

Ketua Program Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) UTM-Argentina, Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria berkata, kerjasama yang bermula secara rasmi pada tahun 2015 itu telah menghasilkan pelbagai hasil berimpak tinggi kepada UTM dan negara amnya seperti pertukaran penyelidik dan pelajar, penerbitan dalam jurnal dan buku ilmiah, penganjuran bersama kursus pendek dan program syarahan kepada pelajar kedua-dua institusi.

Kerjasama itu diteruskan dengan tiga orang pensyarah dari Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga, UTM iaitu Prof. Madya Dr. Azila Abd. Aziz, Dr. Nor Zalina Othman dan Dr. Zainul Akmar telah terlibat sebagai tenaga pengajar dalam penganjuran kursus pendek selama lima hari di Institut Bioprospek dan Fisiologi Tumbuhan (INBIOFIV-CONICET), Tucuman dengan kerjasama Universidad Nacional de Tucuman (UNT), Argentina, baru-baru ini.

Dr. Azila dan Dr. Nor Zalina bersama pelajar INBIOFIV-CONICET.

“Kursus yang telah dihoskan oleh Dr. Maria Ines Isla dan Dr Catiana Zampini (INBIOFIV) itu bertajuk Aplikasi Tumbuhan, Mikrob dan Sisa Biomas Pertanian dalam Pembangunan Bioproduk, telah dihadiri oleh lebih kurang 15 orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari UNT, INBIOFIV dan dua lagi institusi CONICET yang berada di Tucuman, turut disertai oleh tenaga pengajar tempatan dan seorang dari Sepanyol dan Brazil masing-masing.

“Peluang untuk berbincang secara langsung tentang halatuju kerjasama saintifik UTM-Argentina dengan Rektor UNT iaitu Dr. Alicia Bardon dan Pengarah Loji Pandu bagi Proses Mikrobiologi Industri (PROIMI-CONICET), Dr. Lucia Castellanos de Figueroa serta Penyelidik Kanan PROIMI iaitu Dr. Julian Rafael Dib, juga memberi gambaran yang positif tentang potensi jangka panjang kerjasama ini,” katanya.

Profesor Guillermo Raul Castro bersama penyelidik IBD di Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.

Dr. Zainul Akmar  berkata, penglibatan secara langsung warga UTM dalam aktiviti itu bukan sahaja dapat mengukuhkan jalinan kerjasama saintifik UTM dan CONICET, malahan dapat meningkatkan reputasi UTM diperingkat antarabangsa.

Disamping itu, UTM turut menerima kunjungan seorang pakar dalam bidang bio-nanomaterial dari CONICET di kampusnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sepanjang tempoh lawatannya selama seminggu itu, Profesor Guillermo Raul Castro dari Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Fermentasi Industri (CINDEFI-CONICET), La Plata telah dihoskan oleh Dr. Azila yang merupakan salah seorang ketua projek Program R&D UTM-Argentina juga Pengurus IBD, UTM Kuala Lumpur.

“Selain menghadiri sesi perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi UTM Kuala Lumpur, Profesor Castro turut berpeluang menjadi salah seorang penceramah dalam kursus anjuran bersama IBD – CINDEFI bertajuk Kemajuan Terkini Dalam Teknologi Enkapsulasi dan Pembebasan Terkawal.

“Kursus yang dihadiri oleh lebih kurang 50 orang peserta itu turut disertai oleh Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi, Dr. Noorhayati Mohd Noor dan Dr. Azila sebagai penceramah,” katanya.

Sementara itu, Dr Azila berharap lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan antara UTM dan CONICET dimasa akan datang dengan melibatkan penyertaan lebih ramai warga UTM & CONICET serta bidang penyelidikan tambahan, selain bidang bioteknologi seperti sekarang.

“Kerjasama penyelidikan begini sememangya memberi banyak faedah langsung kepada UTM dan negara. Tentunya sokongan dari pihak universiti, CONICET dan kerajaan kedua-dua negara amat penting bagi memastikan kelangsungan program ini” katanya.

Explore More