Disember 27, 2024

SRAD-SPS anjur Hari Informasi Pascasiswazah UTM 2018

JOHOR BAHRU, 14 Januari 2018 – Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan Mahasiswa (SRAD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama dari Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah menganjurkan Hari Informasi Pascasiswazah UTM 2018.

Program sehari itu bermula jam pagi hingga lima petang hari ini adalah aktiviti tahunan SRAD yang diadakan di Lobi Blok F54, kampus UTM Johor Bahru.

Pengarah SRAD, Prof. Madya Dr. Mohamad Kasim Abdul Jalil berkata, program yang dijalankan sejak tahun 2014 itu bertujuan meningkatkan enrolmen mahasiswa dalam kursus pasca-siswazah yang ditawarkan oleh UTM.

“Bagi menggalakkan pendaftaran mahasiswa, kami telah memberikan diskaun istimewa RM500.00 yang dikurangkan daripada bayaran pendaftaran.

“Pihak SPS juga ada menyediakan kaunter permohonan biasiswa bagi membiayai pengajian.  Mana-mana pelajar pasca-siswazah yang telah mendaftar serta mendapat tawaran pengajian boleh memohon secara atas talian di kaunter khas yang disediakan,” katanya.

Antara biasiswa yang ditawarkan adalah UTM Zamalah for Master and Doctor of Philosophy (PhD), National Postgraduate Fund (NPF) dan juga International Doctorate Fund (IDF).

“Untuk tahun ini, pihak kami mensasarkan untuk meningkatkan enrolmen bagi program pesisir Pasca-Siswazah.

“Ini bagi membantu dalam meningkatkan hasil perolehan UTM melalui yuran pengajian yang dibayar mahasiswa ini,” katanya.

Para pengunjung boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kursus yang ditawarkan serta berpeluang bertanya secara terus kepada Ketua Program Pasca-Siswazah masing-masing.

“Sebanyak 15 fakulti termasuk International Business School (IBS) dari UTM Kuala Lumpur menyertai program Hari Informasi Pascasiswazah 2018,” katanya.

Explore More