November 19, 2024

Search
Close this search box.

Usahawan Digital MaGICX bawa pulang wang tunai RM70,000 di Cabaran Indienomics 2.0

JOHOR BAHRU: 7 November 2017 – Lima kumpulan dari Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM70 ribu apabila berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir Cabaran Indienomics 2.0, baru-baru ini.

Peserta peringkat akhir bersama hadiang kemenangan masing-masing.

Setiap kumpulan yang berjaya memasuki ke peringkat akhir menerima hadiah berjumlah antara RM10 ribu dan RM20 ribu anjuran Kerajaan Negeri Johor, Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Johor (EDC), Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Kilang Bateri.

Mereka dipilih melalui beberapa proses saringan dan telah ditempatkan selama sebulan di inkubator MaGICX.

Dalam pertandingan tersebut, kumpulan AriF berjaya membawa pulang wang kemenangan RM20,000 apabila diumumkan sebagai salah seorang pemenang “Top 3”.

Pasukan yang dipilih sebagai pemenang “Top 3” dan diberikan peluang untuk mempersembahkan idea di hadapan Menteri Besar Johor, YAB Dato` Mohamed Khaled Bin Nordin dan juga pelabur yang hadir.

Kumpulan berkenaan menghasilkan set permainan kad, bentuk dan warna (AriF) untuk berinteraksi dengan aplikasi yang disediakan menggunakan teknologi Augmentasi Realiti (AR) dan Pemprosesan Imej.

Pengasasnya,  Mohd Kufaisal Mohd Sidik, pelajar PhD Fakulti Komputeran berkata, fasa pertama produk itu akan digunakan di tadika di sekitar Johor Bahru bagi kanak-kanak meningkatkan minat dan pemahaman mereka dalam pembelajaran.

Manakala Kumpulan CikguF yang menghasilkan produk Aplikasi Mobil bagi menyokong platform web “E-Commerce” berteraskan sektor pendidikan berjaya membawa pulang wang kemenangan RM20,000.

Sementara kumpulan BIMonAR yang mencipta platform interaktif bagi memudahkan penguasaan bahasa Isyarat Malaysia kepada golongan OKU pekak mengikut kategori penguasaan serta komuniti  sekeliling berjaya membawa pulang RM10,000.

Idea pelajar PhD Fakulti Komputeran,Ruzimi Mohamed adalah produk yang amat membantu untuk berinteraksi antara orang normal dan golongan OKU.

Kumpulan i-Pomen  turut membawa pulang wang tunai RM10,000 dengan menghasilkan platform menghubungkan pelanggan dengan pembekal perkhidmatan membaiki telefon dengan tagline perkhidmatan terbaik dengan harga yang terbaik.

Ahli Kumpulan i-Pomen, Ahmad Shahrul Samsuri adalah pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Grafik dan Multimedia), Fakulti Komputeran akan merealisasikan pembangunan idea berkenaan.

Kumpulan wARna  yang mempertaruhkan produk buku mewarna interaktif yang diberi nama wARna (Wonderful Augmented Reality and Art) menggunakan teknologi AR turut membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM10,000.

Kumpulan wARna diketuai oleh Mohd Azhar M. Arsad, pelajar Sarjana (Keusahaawanan IT) Fakulti Komputeran.

Produk wARna adalah hasil penyelidikan oleh sekumpulan penyelidik UTM yang telah sedia untuk dikomersilkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGICX, Prof Madya Dr Mohd Shahrizal Sunar berkata, kemenangan peserta di bawah program Usahawan Digital itu adalah  permulaan yang baik bagi  meningkatkan motivasi mereka untuk terus berusaha membangunkan ekonomi negara melalui perniagaan produk-produk digital yang kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, antara idea yang diketengahkan kumpulan Usahawan Digital ini ialah produk digital seperti Aplikasi Mobile, AR dan Internet of Thing (IoT) yang secara tidak langsung dapat meningkatkan minat terhadap pembangunan aplikasi dan kandungan kreatif, seterusnya melahirkan bakat anak tempatan bertaraf antarabangsa.

“Indienomics atau ekonomi merdeka adalah satu program yang sangat bermanfaat kerana memberikan peluang usahawan muda menjadi lebih kreatif dan berfikir di luar kotak konvensional, lebih-lebih lagi dengan sokongan MaGICX,” katanya.

 

 

Explore More