JOHOR BAHRU, 7 Disember 2017 – Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Professor Madya Dr Mohd Hafiz Dzarfan Othman merangkul tiga pingat dan satu anugerah khas di Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2017 yang berlangsung di COEX, Seoul, Korea Selatan.

Dr Mohd Hafiz Dzarfan (dua dari kiri) bersama ahli kumpulannya mempamerkan anugerah dan pingat yang dimenangi.

Di pameran tersebut yang berlangsung selama empat hari mulai 30 November itu, serta delegasi UTM yang lain yang terdiri dari Dr. Mohd Hafiz Puteh, Siti Khadijah Hubadillah dan Mohd Ridhwan Adam yang mempertandingkan tiga produk inovasi dan berjaya membawa pulang satu anugerah khas, dua pingat emas dan satu pingat perak.

Anugerah khas tersebut adalah “Vietnam Fund for Supporting Technological Creation” daripada lebih 700 produk yang mengambil bahagian daripada lebih 35 buah negara.

Produk inovasi Sil-RH Membrane Distillation: From Seawater to Freshwater merangkul pingat emas dan anugerah khas.

Satu lagi produk yang menyumbang pingat emas ialah NatZeo: Effective Ammonia Remover. Manakala, K-Membrane: Smart Membrane for Oily Wastewater memperolehi kepada pingat perak.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr Mohd Hafiz Dzarfan berkata, produk Sil-RH Membrane Distillation: From Seawater to Freshwater yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) itu ialah membran berkos rendah yang diperbuat daripada bahan buangan sekam padi dan disediakan melalui kaedah penyongsangan fasa dalam satu langkah.

Beliau berkata, membran berkenaan merupakan komponen utama kepada sistem membran penyulingan untuk aplikasi penyahgaraman air laut kepada air minum.

Hasilnya, pada suhu serendah 50 darjah Celcius, sistem tersebut berjaya mengasingkan hampir 100% garam dari air laut, justeru, menghasilkan air minum yang bersih dengan harga $0.87/m3 berbanding sistem konvensional membran osmosis berbalik (RO) ($1.22/m3).

Produk NatZeo: Effective Ammonia Remover pula merupakan aplikasi membran hibrid untuk pemisahan ammonia dalam air sisa.

Dengan menggunakan zeolit semulajadi yang diperolehi daripada komponen lahar gunung berapi, membran ini mempunyai keistimewaan penjerapan dan pemisahan ammonia daripada air dalam satu proses, seterusnya meningkatkan kecekapan pengasingan ammonia berbanding system sedia ada.

Manakala, produk K-Membrane: Smart Membrane for Oily Wastewater Treatment yang menggunakan kaolin Malaysia sebagai bahan seramik utama merupakan membran berkos rendah untuk aplikasi pemisahan minyak daripada air hasil sifat hidrofilik (suka air) kaolin yang sangat bagus.

Menurutnya, K-Membrane juga dapat dimodifikasi dengan teknik modifikasi permukaan untuk aplikasi pembersihan minyak.

Lantas, teknologi membran ini telah terbukti menjadi salah satu kaedah yang sangat berkesan untuk menangani masalah kekurangan air dan pencemaran air.

SIIF merupakan pameran ciptaan terbesar di dunia bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat perlesenan dan orang awam.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Harta Intelek Korea (KIPO) dan disokong di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Pencipta (IFIA).

 

Ketua Projek: Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman

Ahli Projek: Siti Khadijah Hubadillah, Mohd Ridhwan Adam, Dr. Mohd Hafiz Puteh, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Dr. Siti Hamimah Sheikh Abdul Kadir, Dr. Mukhlis A.Rahman, Prof. Madya Dr. Juhana Jaafar, Prof. Dr. Madzlan Aziz, Prof. Madya Dr. Azeman Mustafa, Prof. Madya Dr. Zawati Harun, Mohd Sohaimi Abdullah, Ng Be Cheer, Norafiqah Ismail, Mohammad Abdul Razis Saidin