November 25, 2024

Search
Close this search box.

Laporan Aktiviti UTM Summer School-Built Environment Experiences 2017

JOHOR BAHRU, 18 Oktober 2017 – Seramai 39 orang peserta yang terdiri peserta program Perancangan Bandar dan Wilayah dari Fakulti Alam Bina UTM (15 pelajar dan 1 pensyarah pengiring), Perencanaan Wilayah dan Kota (15 pelajar dan 2 pensyarah pengiring) dan Teknik Industri (5 pelajar dan 1 pensyarah pengiring) masing-masing dari Fakultas Teknik, Universitas Sebelas Maret, Surakarta, Indoensia (UNS) telah terlibat dalam program UTM Summer School-Built Environment Experiences 2017. Program UTM Summer Schoolanjuran Fakulti Alam Bina UTM (FAB UTM) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) dengan kerjasama Centre for Innovative Planning and Development (CiPD) ini telah disertai oleh 23 orang peserta dari Universitas Sebelas Maret, Surakarta, Indoensia (UNS) buat kali pertamanya dengan temanya “Accelerating Green Development in Asia”.

Pengarah program, Dr. Noor Aimran Samsudin, pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan hasil kajian UTM berkaitan amalan pembangunan mampan dan usaha mengurangkan perlepasan karbon ke alam sekitar dari perspektif bidang perancangan bandar khususnya di sekitar koridor pembangunan wilayah Iskandar Malaysia. Beberapa perkongsian dapatan dari pakar rujuk UTM iaitu Prof. TPr. Dr. Ho Chin Siong, Pengarah UTM Low Carbon Asia Research Centre, TPr. En. Chau Loon Wai dan Dr. Ariva Sugandi Permana, pensyarah kanan JPBW turut disampaikan dalam sebuah aktiviti FBE Talk Series. Aktiviti seperti ini dapat merealisasikan Bidang Tumpuan ke-7 dalam Pelan Global UTM 2012-2020 iaitu “Memperkasakan jenama UTM di peringkat global”.

Selain itu, peserta berpeluang melawat usahasama penduduk kampung warisan, Kampung Sungai Melayu yang terletak berhampiran pusat pentadbiran baru Negeri Johor, Kota Iskandar membangunkan pakej pelancongan berasaskan ekopelancongan. Para peserta dibawa menyelusuri sepanjang Sungai Melayu melihat keindahan flora dan fauna di pesisiran hutan paya bakau yang masih terpelihara di sepanjang sungai tersebut selain melawat perusahaan ternakan kupang yang diusahakan oleh penduduk setempat. Program UTM Summer School yang bermula pada 17 sehingga 21 Oktober 2017 ini turut melibatkan sesi taklimat oleh pihak ThinkCity JB iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang komited dalam mempromosikan usaha pembangunan semula bandar warisan melalui rehabilitasi bandar (rehabilitation) dan rejuvenasi bandar (rejuvenation) dengan menekankan penglibatan komuniti setempat. Peserta turut berpeluang melawat pusat bandaraya Johor Bahru melalui aktiviti jejak warisan.

Sebuah mesyuarat kerjasama antara pihak JPBW dan UNS yang dipengerusikan oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail (Ketua Jabatan JPBW) turut diadakan untuk membincangkan sebarang bentuk kerjasama antara kedua-dua program pengajian pada masa hadapan melalui platform perjanjian persefahaman (MoU) sediada antara UTM dan UNS. Antara persetujuan awal adalah komitmen pihak UNS untuk menyertai program UTM Summer School setiap tahun selain cadangan mengadakan penerbitan secara berkala dan penganjuran bersama bengkel atau persidangan di peringkat antarabangsa.

Pihak UNS diwakili oleh Dr. Ir. Winny Astuti dan Dr. Paramita Rahayu dari Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota, UNS. Dalam sebuah pertemuan, Prof. Dr. Mohd. Hamdan Haji Ahmad, Dekan Fakulti Alam Bina UTM turut menyambut baik cadangan Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota, UNS untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM.

Hari-1, Selasa (17 Oktober 2017) : Ketibaan Peserta ke UTM dan Daftar Masuk

Delegasi UNS telah dijemput dari KLIA2 dengan bas UTM. Dua pelajar UTM turut serta selaku pengiring delegasi tersebut dan membawa peserta mendaftar masuk di Kolej-kolej Kediaman UTM. Tiada aktiviti disusun untuk hari pertama kerana peserta telah tiba lewat malam.

Hari-2, Rabu (18 Oktober 2017) : Lawatan ke Kampung Sungai Melayu (Ekopelancongan Sg. Melayu) & Iskandar Puteri

Peserta telah bertolak ke Kampung Sungai Melayu seawal pagi untuk menyertai aktiviti-aktiviti ekopelancongan yang telah diaturkan. Aktiviti sebelah pagi bermula dengan sesi taklimat oleh Ketua Kampung Sg. Melayu iaitu Pak Andak. Menurut beliau, kampung tersebut kini menjadi tumpuan para pelancong luar negara. Hasil usaha sama beberapa agensi kerajaan, pendapatan penduduk yang terdiri daripada para nelayan kini turut bertambah melalui penglibatan secara usaha sama dalam penyediaan pakej ekopelancongan seperti aktiviti menyelusuri sungai, menangkap ikan dan melawati perusahaan ternakan kupang. Peserta sangat teruja untuk menaiki bot dan menyelusuri Sungai Melayu melihat keindahan hutan paya bakau di sepanjang pesisiran tebing berhampiran. Peserta turut dibawa melawat perusahaan kupang yang diusahakan penduduk kampung tersebut melalui penubuhan koperasi. Selepas menikmati hidangan masakan asam pedas yang terkenal di sebuah restoran berhampiran jeti nelayan, para peserta dibawa melawat ke sekitar Iskandar Puteri yang dahulunya dikenali sebagai Nusajaya iaitu pusat pentadbiran baru Negeri Johor. Antara tempat yang dilawati adalah perkarangan Kota Iskandar, Masjid Nusajaya, Puteri Harbour dan Medini Mall.

Hari Ke-3, Khamis (19 Oktober 2017) : FBE Talk Series & Lawatan Sekitar Fakulti

Sebuah siri kuliah telah diaturkan untuk memenuhi tema program iaitu “Accelerating green development in Asia” dengan menjemput pakar-pakar UTM seperti Prof. Dr. Ho Chin Siong, Pengarah UTM Low Carbon Asia Research Centre, En. Chau Loon Wai dan Dr. Ariva Sugandi Permana, pensyarah kanan JPBW. Antara lain topik yang dibincangkan adalah pengalaman koridor pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dalam menerapkan pembangunan secara mampan dan rendah karbon. Pada sebelah petang, peserta dibawa melawat kemudahan di sekitar FAB seperti Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), UTM Low Carbon Asia Research Centre dan Centre for Innovative Planning and Development (CiPD). Sebuah mesyuarat turut diadakan untuk membincangkan sebarang  usaha yang dapat dijalankan untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam bidang pengajian dan penyelidikan khususnya berkaitan bidang perancangan bandar. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil UNS iaitu Dr. Ir. Winny Astuti dan Dr. Paramita Rahayu dari Program Program Studi Perencanaan Wilayah dan Kota. Pihak JPBW diwakili oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail (Ketua Jabatan JPBW). Antara lain kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melihat sebarang kemungkinan penganjuran program kerjasama seperti bengkel, simposium dan persidangan di peringkat antarabangsa selain komitmen pihak UNS untuk menghantar delegasi mereka setiap tahun untuk penyertaan UTM Summer School di Malaysia. Kedua-dua pihak bersetuju untuk melihat peluang penerbitan melalui usaha sama antara pensyarah UNS dan UTM pada masa hadapan. Kerjasama ini dijalinkan melalui MoU sedia ada yang telah terjanlin antara kedua-dua institusi pengajian.

Hari Ke-4, Jumaat (20 Oktober 2017) : Lawatan ke sekitar Pusat Bandaraya Johor Bahru 

Peserta telah dibawa melawat ke sekitar pusat bandar Johor Bahru melalui aktiviti jejak warisan JB. Bermula dari Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Meldrum, peserta diperkenalkan dengan kawasan pusat bandar lama yang mengandungi deretan rumah kedai tradisional. Dengan kerjasama pihak Think City cawangan Johor Bahru, sebuah taklimat telah disampaikan kepada peserta mengenai penglibatan pihak mereka dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam berkaitan usaha pemeliharaan bangunan bernilai warisan di kawasan sekitar. Menurut Think City, penglibatan awam dalam proses perancangan dan pembangunan khususnya di sektiar bandar-bandar bersejarah seperti ini perlu dipertingkatkan lagi. Pelbagai geran inisiatif dan khidmat nasihat profesional dapat disediakan jika pemilik bangunan dapat turut serta menjayakan usaha pembaharuan semula kejiranan mereka. Peserta turut mengambil peluang untuk membeli belah di pusat membeli belah berhampiran kawasan ini. Bangunan-bangunan warisan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut perlu dipelihara dengan sewajarnya sebagai bukti tapak permulaan kemodenan Bandaraya Johor Bahru.

Hari Ke-5, Sabtu (21 Oktober 2017) : Berbasikal di sekitar kampus UTM JB & majlis penutup

Sebuah majlis penutup dan sesi penyampaian sijil kepada peserta telah diadakan di Restoran Makjah, Rumah Alumni UTM pada sebelah malam. Peserta UNS bertolak melawat ke Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2017 dan berangkat pulang ke Solo pada hari berikutnya.

 

Explore More