April 26, 2024

Search
Close this search box.

Eureka Explorace : Teroka Sains, bukan Belajar Sains

Menganjurkan program berbentuk pertandingan adalah salah satu cara untuk membina generasi muda yang berdaya saing.

Atas kesedaran itu, satu aktiviti diadakan sempena Jelajah Sains 3.0 pada 1 Oktober 2017 lepas di Fakulti Sains UTM, anjuran bersama Fakulti Sains, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Centre of Engineering Education (CEE) UTM, dan UTMAlumni.

Stesen Pour Up.

Jelajah Sains 3.0 menyediakan platform kepada 105 orang pelajar tingkatan satu dari tujuh sekolah untuk bersaing sambil menerokai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Sains) dalam aktiviti yang dinamakan Eureka Explorace.

Eureka Explorace dikendalikan oleh lima orang fasilitator yang merupakan mahasiswa Fakulti Sains UTM,diketuai oleh Ummi Shobirah Ali dengan set aktiviti interaktif yang mereka bangunkan dan diselia oleh pensyarah UTM agar peserta dapat mensimulasikan sendiri konsep Sains dan Matematik, membantu kefahaman mereka dalam keadaan yang seronok dan mengujakan.

Semasa Eureka Explorace, peserta bertanding secara sihat sambil menguji konsep STEM, lebih daripada menelaah buku teks atau mendengar di dalam kelas.

Stesen Bernoulli

 

Langkah berkenaan selari dengan saranan Penasihat Sains, Pejabat Perdana Menteri Tan Sri Zakri Abdul Hamid semasa menyampaikan ucaputama bertajuk Developing Future Human Capital in Emerging Economies for Industrie 4.0 di World Engineering Education Forum 2017 (WEEF) di Berjaya Times Square, Hotel Kuala Lumpur yang berlangsung pada 13 November sehingga 16 November lalu.

Beliau menyarankan supaya Sains perlu diterokai, hipotesis perlu diuji, bukan diajar.

“Yang utama bukanlah apa yang anak-anak kita belajar, tetapi bagaimana mereka belajar,” katanya.

Sebelum Eureka Explorace bermula, setiap kumpulan yang terdiri antara tujuh dan lapan orang dibekalkan dengan senarai arahan dan soalan untuk diselesaikan selepas melakukan aktiviti di stesen yang disediakan.

Pemenang dipilih berdasarkan penilaian senarai tugas dan soalan yang berjaya diselesaikan, dalam masa maksimum satu jam setengah, menjadikan suasana bangunan T05 Fakulti Sains UTM meriah dengan semangat berpasukan para peserta.

Stesen yang disediakan ialah Misteri Kimia, Belon dan Tekanan, ‘Pour Up’, video pendek, Ketumpatan, ‘Perodic Table Maze’, Stesen Bernoulli dan stesen oleh Nuclear Enginnering Society (NESS) dari Fakulti Kejuruteraan Tenaga, UTM.

Mengikut maklumbalas peserta stesen “Pour Up” dan Stesen Bernoulli adalah yang palingd digemari.

“Saya lebih faham tentang Prinsip Bernoulli yang telah saya pelajari di sekolah,” kata salah seorang peserta.

Di stesen ”Pour Up” kemahiran penyelesaian masalah diuji dalam tugasan memenuhkan botol berisipadu 400ml dengan menuangkan 1000ml air ke dalam bekas berisipadu 250 ml, 50ml dan 500ml yang disediakan.

Manakala di Stesen Bernoulli, para peserta  diberi arahan, “Sila apungkan bola ping pong dengan hanya menggunakan penyedut minuman,” sebelum kefahaman tentang konsep Bernoulli yang melibatkan tekanan dan halaju dipastikan

Eureka Explorace membantu pelajar-pelajar menerokai STEM dengan memahami bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya, setiap teori ada praktikalnya dan aplikasinya, dengan harapan apresiasi terhadap Sains dan Matematik dapat diterapkan.

 

Oleh:

Fatin Nur Adibah Muslan dan Dr. Nor Ain Husein,                                                                                                                                                                                                                                                                       Fakulti Sains

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More