April 20, 2024

Search
Close this search box.

Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah terima watikah perlantikan sebagai Pro-Canselor UTM

JOHOR BAHRU,  28 Oktober 2017 – Mantan Pengarah Urusan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir menerima watikah perlantikan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTM ke-59.

Canselor UTM DYMM Raja Zarith Sofiah menyampaikan watikah pelantikan sebagai Pro Canselor kepada Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah.

Perlantikan beliau sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuatkuasa pada 1 November 2016.

Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah telah dilahirkan di Mersing, Johor pada 2 Jun 1952 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sri Mersing, Johor (1961-1963) dan Sekolah Menengah Sri Mersing (1964-1968).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dengan mengikuti kursus Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1971 dan seterusnya ke Henley Business School, University of Reading, United Kingdom sehingga berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Tan Sri memulakan kerjayanya dengan Johor Corporation (Jcorp) pada tahun 1974 dan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd dari tahun 1989 hingga disenaraikan KPJ Healthcare pada tahun 1994.

Beliau bertanggungjawab untuk menyelaras kepimpinan strategik, berwawasan dan transformasi di KPJ sehinggakan Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd. ini telah mencapai kejayaan yang luar biasa pada banyak bidang dalam memiliki dan menguruskan hospital swasta sejak tahun 1981.

Tan Sri telah memegang jawatan Pengarah Urusan KPJ dari Mac 1993 sehingga persaraan beliau pada Disember 2012.  Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Korporat KPJ bermula Januari 2013 hingga Disember 2014.

Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah juga merupakan Pengerusi dan Pro-Canselor KPJ Healthcare University Collage (KPJUC) dari Ogos 2011 hingga Disember 2016.

Selain KPJ, Tan Sri Siti Sa’diah juga pernah berkhidmat di pelbagai sektor korporat sebagai Lembaga Pengarah antaranya Syarikat Kimia Malaysia Berhad (CCM), CCM Duopharma Biotech Berhad, OSK Holdings Berhad dan juga pengerusi Nationwide Express Holdings Berhad.

Tan Sri juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah KFC & QSR Brands Berhad dan Kulim (Malaysia) dari tahun 2010 dan 2015 sehingga mendapat penswastaan masing-masing pada tahun 2013 dan 2016.

Beliau juga adalah Presiden Malaysian Society for Quality iin Health (MSQH) iaitu badan pengiktirafan kesihatan sejak tahun 1998 dan merupakan ahli Jawatankuasa Akademik Sekolah Kerajaan Razak (RSOG).

Selain menjawat pelbagai jawatan korporat, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah juga telah dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak 2016 dan telah melancarkan biografinya yang bertajuk “Siti Sa’adiah : Driven by Vision, Mission and Passion” yang ditulis oleh Prof. Rokiah Talib dan diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2013.

Sehingga kini beliau masih aktif berkongsi pengalamannya di pelbagai platform setiap tahun untuk memberikan inspirasi dan menggalakkan pemimpin lain untuk melonjakkan potensi kewibaan mereka.

 

 

 

Explore More