April 20, 2024

Search
Close this search box.

Presiden baharu mahu lahirkan mahasiswa berkualiti untuk pembangunan negara

JOHOR BAHRU, 19 Oktober 2017 – Sebanyak tiga perkara utama akan diberikan penekanan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPMUTM) bagi sesi 2017/2018 sebagai pelan transformasi mahasiswa universiti itu.

Muhammad Ikhmal

Presiden MPMUTM sesi 2017/2018, Muhammad Ikhmal Borhan berkata tiga perkara tersebut merupakan kaedah yang diperkenalkan oleh kabinetnya bagi melahirkan mahasiswa yang berkualiti untuk pembangunan negara dan masyarakat.

Elemen yang ingin diberikan penekanan adalah melahirkan mahasiswa holistik, meningkatkan kerjasama dengan persatuan pelajar dalam UTM dan juga Pembentukan Parlimen Mahasiswa UTM.

Muhammad Ikhmal (duduk dua kiri) bersama barisan anggota kabinet barunya selepas majlis angkat sumpah di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Bercakap di pejabat MPMUTM, Muhammad Ikmal memberitahu bahawa niatnya memperkenalkan pelan transformasi itu bukanlah untuk membebankan mana-mana pihak, sebaliknya ingin melahirkan bakal-bakal graduan yang mampu memenuhi kriteria yang dimahukan majikan pada masa kini.

“Kebanyakan mahasiswa kini hanya memfokuskan kepada akademik semata-mata dan kurang kemahiran insaniah seperti mana yang dikehendaki oleh majikan.

“Ini telah menyebabkan ramai mahasiswa yang gagal mendapatkan pekerjaan walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam pengajian masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai pelan transformasi yang bakal dilaksanakan, Muhammad Ikhmal berkata antara aktiviti yang ingin diperbanyakkan adalah khidmat komuniti mahasiswa.

“Ini adalah sebahagian dari cara kami untuk melahirkan mahasiswa yang lebih mempunyai jati diri, kemuliaan sahsiah dan juga ciri kepimpinan yang cemerlang sekaligus mampu menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara selepas tamat pengajian,” katanya.

Menyentuh mengenai pengwujudan Parlimen Mahasiswa, Muhammad Ikmal berkata program yang sama telah dijalankan melalui penubuhan Parlimen Belia Malaysia.

“Dengan penubuhan Parlimen Mahasiswa ini, para penuntut bolehlah mengemukakan buah fikiran masing-masing dalam perkara yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan mahasiswa secara sihat dan berhemah.

“Ini sekaligus dapat mengelakkan budaya yang negatif seperti penggunaan bahasa kasar dalam menyampaikan mesej sekaligus membentuk generasi yang tidak menyalahgunakan kemudahan media sosial,” katanya.

 

Explore More