April 18, 2024

Search
Close this search box.

KPDNKK anjur Program Latihan Keusahawanan untuk mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 9 Oktober 2017 –  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan  Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Coca Cola KU (Komuniti Usahawan) via KPDNKK bertempat di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (empat kiri) dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar ketika pelancaran Program Coca-Cola KU via KPDNKK di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis pelancaran majlis berkenaan, Hamzah berkata program berkenaan adalah program unik antara KPDNKK dan Coca-Cola Malaysia dalam menyediakan latihan keusahawanan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“UTM adalah Universiti Awam (UA) keenam yang menerima latihan ini bagi mahasiswa mengikuti program berkaitan perniagaan dan keusahawanan runcit.

“Sehingga hari ini, program Coca-Colaku sudah melatih lebih 5,000 bakal usahawan dan sedang berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasarannya untuk memperkasa 20,000 pemilik perniagaan dan pelajar universiti menjelang 2020,” katanya.

Sebelum UTM, latihan berkenaan sudah dijalankan di beberapa buah UA seperti Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Pendidikan Politeknik Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

“Peserta yang menyertai program ini akan diberikan Modul latihan Coca-Cola KU yang meliputi kaedah memulakan perniagaan, menyimpan rekod harian, menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, pengurusan aliran tunai, kredit serta pengurusan mutu dan perkhidmatan.

“Terdapat juga modul yang nenekankan kepada bagaimana memahami perniagaan, pemasaran, membangunkan bajet, membuat perancangan perniagaan, pengurusan inventori dan teknik pengembangan perniagaan,” katanya.

Sesi ‘Townhall’ turut diadakan dengan Dato’ Seri Hamzah dan Pengarah Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia-Singapura-Brunei, Belinda Ford memberikan penerangan mengenai peluang yang ditawarkan melalui program itu.

Program Coca-Cola KU (Komuniti Usahawan) telah dilancarkan pada bulan April 2017 dan mensasarkan untuk memberikan latihan kepada pelajar di 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara sepanjang 2017.

Program itu menyediakan latihan kemahiran perniagaan utama kepada peserta manakala KPDNKK menyediakan khidmat rundingan dalam bidang undang-undang perniagaan serta pembiayaan mikro.

Turut hadir dalam majlis perasmian program ini adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar,  Pengurus Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Ahmed Yehia dan Pengarah Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Coca Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Belinda Ford.

Explore More