April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 14 ogos 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima sumbangan 200 buah Sikal Eletrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M) merupakan inisiatif berkelompok terpilih yang memfokuskan kepada budaya gaya hidup lestari dan keusahawanan.

Dato Seri Dr Zaini menyerah basikal elektrik kepada Profesor Datuk Ir Dr Wahid.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, SER1M mampu merealisasikan hasrat UTM bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan budaya gaya hidup lestari dan sihat di kalangan warga kampus.

Menurutnya, satu inisiatif bersepadu telah digerakkan menerusi perlaksanaan Car-Free Day (CFD) bermula 20 Disember 2016 yang lepas bertujuan mengurangkan potensi jejak karbon sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.

“Hasil kajian yang dilakukan, menunjukkan secara purata trafik dalaman UTM telah menyumbang sebanyak 3.62 metrik tan karbon dioksida per kapita setahun, iaitu 24 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas karbon di UTM.

“Ini adalah berdasarkan purata kenderaan, terutamanya kereta dan motosikal yang berulang-alik di dalam kawasan kampus setiap hari yang mencecah sehingga 1,250 buah,” katanya.

Pelajar UTM menaiki basikal elektrik mengelilingi kawasan kampus.
Dato Seri Dr Zaini, Profesor Datuk Ir Dr Wahid dan Profesor Dr Azlan Abdul Rahman bersiap sedia memulakan kayuhan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI).

Profesor Wahid berkata, berdasarkan kepada kajian saintifik, dianggarkan sebanyak 1,288 kg CO2/bulan ataupun sebanyak 15,456 kg CO2/tahun dapat dikurangkan apabila basikal berkuasa elektrik ini digunakan bagi menggantikan penggunaan motosikal berkapasiti 100 cc.

Tambah beliau, sekiranya kesemua 350 unit motosikal yang aktif di UTM dalam sehari ini digantikan dengan unit SER1M, maka dalam setahun jumlah pengurangan karbon yang boleh dikurangkan adalah sebanyak 45,096 kg CO2 (45 MT CO2/tahun), menyamai dengan keperluan menyalakan mentol lampu 13-Watt selama 395 tahun, atau memenuhi keperluan tenaga sebuah rumah selama 3.46 tahun, atau bersamaan dengan penggunaan 15.73 tan arang batu untuk penghasilan tenaga elektrik.

“UTM menerusi kerjasama dengan Greentech Malaysia (MGTC) menjadi perintis dalam kalangan warga kampus mempromosi kelebihan “Berbasikal Di Dalam Kampus”.

“Penggunaan SER1M selaras dengan aspirasi kerajaan bagi membentuk transformasi minda lestari, terutama dalam kalangan generasi muda dan memupuk gaya hidup sihat,” katanya.

UTM adalah antara enam buah Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian tinggi Swasta (IPTS0 yang dipilih menyertai projek perintis bagi melaksanakan agenda budaya rendah karbon serta menyokong gaya hidup sihat dan kekal cergas.

Antara usaha yang telah dijalankan ialah UTM bakal melaksanakan transformasi bersepadu untuk menambah jumlah purata zon tanpa kenderaan sekarang daripada 72 jam setahun (jumlah jam CFD setahun) kepada 180 jam setahun, iaitu peningkatan melebihi sekali ganda daripada keperluan CFD semasa bagi membudayakan gaya hidup lestaridan dan hari berbasikal serta riadah di UTM.

“UTM akan terus mempertingkatkan usaha membudayakan gaya hidup lestari dengan menyediakan keperluan asas berbasikal di dalam kampus, antaranya kemudahan meletak basikal yang lebih bersepadu dan kemudahan mengecas menggunakan teknologi solar, penggunaan teknologi My E-Bike bagi aplikasi peminjaman dan kawalan keselamatan tambahan basikal..

“Kesemua sistem ini dibangunkan oleh pelajar dan staf UTM sendiri menggunakan modal yang minima,” katanya.

Penyerahan SER1M disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato Seri Dr Zaini Ujang kepada Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar di UTM, pagi ini.

Di samping itu, penyerahan SER1M diharap dapat menggalak masyarakat kampus, terutama mahasiswa menceburi bidang keusahawan dengan menjalankan kegiatan menyewa dan menyelenggara basikal berkenaan.

Usaha sedang dijalankan bagi membangunkan aplikasi penyewaan basikal menerusi atas talian yang dilengkapi dengan laluan dan kunci keselamatan yang boleh diperolehi melalui internet.

 

 

Explore More