JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2017 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh mengadakan lawatan ke Makmal Aeronautik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melihat aktiviti penyelidikan berkaitan roket.

Dato’ Seri Idris Jusoh melihat pesawat tanpa pemandu (UAV) hasil penyelidikan dan pembangunan penyelidik Makmal Aeronautik UTM.

Pengarahnya, Profesor Dr Wan Khairuddin Wan Ali berkata, penyelidikan yang dijalankan oleh pihaknya adalah berkaitan penghasilan bahan pendorong yang diguna untuk menghasilkan daya tujah dalam sesebuah roket.

Beliau berkata, bahan berkenaan sangat sukar untuk diperolehi dari luar negara dan mendorong pihaknya untuk menjalankan penyelidikan bagi menghasilkannya secara tempatan.

“Menerusi kepakaran tempatan Makmal Aeronautik berjaya menghasilkan bahan pendorong untuk roket yang kini sedia untuk dibawa ke peringkat pengeluaran industri.

“Industri aeroangkasa, sivil dan pertahanan yang berkait dengan teknologi tersebut dijangka dapat dirintis melalui penghasilan produk berkenaan,” katanya.

Dato’ Seri Idris Jusoh menyaksikan roket yang diuji di dalam terowong angin.

Profesor Dr Wan Khairuddin Wan Ali menerangkan mengenai aktiviti penyelidikan dan pembangunan Makmal Aeronautik.

Profesor Dr Wan Khairuddin berkata, faktor ekonomi dan geopolitik semasa telah menjadikan satu keperluan untuk Malaysia memulakan industri aeroangkasa terutamanya dalam industri berasaskan teknologi roket.

Kejayaan itu menarik minat Lestari Advanced Technology Sdn Bhd (LATSB) mengadakan kerjasama dengan Makmal Aeronautik UTM dalam membangun dan mengkomersialkan produk berkaitan.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu diadakan di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Selain itu, Makmal Aeronautik UTM berjaya mereka bentuk dan membina pesawat tanpa juruterbang (UAV) dengan menggunakan teknologi dan kepakaran tempatan seluruhnya.

“UAV dihasilkan melalui Projek CAMAR (Consolidated Advanced Model for Aeronautical Research) dan pesawat yang direkacipta itu telah menjalani ujian pembuktian konsep dengan jayanya.

“Teknologi itu harus dibangunkan lebih jauh lagi dengan penglibatan pengguna dan industri dan dijangka dapat memberi pulangan dalam lingkungan jutaan ringgit kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, Makmal Aeronautik UTM yang dilengkapi dengan terowong angin yang berkualiti dan peralatan canggih patut dimanfaat oleh pelbagai  industri tempatan.

Berikutan perubahan cuaca yang dialami di rantau ini, fasiliti terowong angin UTM dan kepakaran tenaga akademik di Makmal Aeronautik dapat membantu arkitek dan jurutera untuk mengkaji rekaan bangunan yang sesuai dengan perubahan cuaca yang dialami.

“Binaan sivil seperti stadium, jambatan, bangunan pencakar langit, pelantar minyak dan lain-lain telah banyak diuji di terowong angin UTM, dan perkhidmatan perundingan yang ditawarkan telah membantu arkitek dan jurutera membina bangunan dan struktur yang lebih selamat,” katanya.

Di samping itu, Makmal Aeronautik juga menawarkan perkhidmatan lain seperti pengujian kekuatan metal deck, kekuatan rintangan angin bagi produk termasuk jubin atap, analisis kaedah unsur terhingga (FEA) dan analisis dinamik bendalir perkomputeran (CFD) untuk industri kejuruteraan negara.

Kemudahan yang terdapat di Makmal Aeronautik UTM telah dimanfaatkan oleh banyak syarikat dalam dan luar negara, termasuk yang hendak mengeksport produk mereka.