April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM-PDRM teroka peluang kerjasama

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengalu-alukan penerokaan peluang kerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam pelbagai bidang penyelidikan dan akademik.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertukar dokumen perjanjian.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, kerjasama antara kedua belah pihak berjalan sejak sekian lama menerusi latihan pelajar Sarjana Sains Forensik, Fakulti Sains, UTM di PDRM dan siri latihan kepada pegawai PDRM bagi mengukuhkan kefahaman dan kemahiran dalam menangani isu jenayah di Malaysia.

Menurutnya, pelbagai siri pertukaran ilmu telah dijalankan yang mana sebahagian permasalahan forensik PDRM dijadikan kajian secara lebih terperinci dan saintifik di Makmal Forensik UTM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Challenges and Strategies for the Next Decade dan menjawab soalan daripada hadirin.
sebahagian daripada hadirin yang memenuhi Dewan Tan Sri Azman.
Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berbincang sesuatu dengan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Hasil kajian dikongsi bersama dengan pihak PDRM dan masyarakat menerusi penulisan tesis, pembentangan di seminar dan penerbitan dalam jurnal nasional dan antarabangsa.

“Sebahagian graduat daripada kursus ini juga akhirnya menjadi staf PDRM untuk menyumbang dalam sains forensic,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan PDRM dan Syarahan Perdana oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Dewan Tan Sri Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur, pagi ini

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Halim Ali, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Amar Singh a/l Ishar Singh, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dr Durrishah Idrus, Pendaftar UTM Datuk Wan Mohd ZAwawi Wan Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Sains, Profesor Dr Norsaharahaida Saidini Amin.

Profesor Wahid berkata, MoU yang dimeterai itu akan merancakkan lagi penyelidikan di bidang forensik menerusi pertukaran data rujukan, maklumat akademik dan literatur sesama institusi.

Beliau berkata, selain kerjasama dalam bidang forensik, UTM dan PDRM boleh meneroka peluang kolaborasi dalam bidang teknologi maklumat seperti sistem sekuriti siber, sistem rangkaian 5G dan statistik forensik.

“Saya percaya jalinan kerjasama antara UTM dan PDRM akan dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat bagi menangani secara berkesan isu-isu berkaitan keselamatan negara yang semakin mencabar dari hari ke hari,” katanya.

Explore More