April 19, 2024

Search
Close this search box.

STEM DAY 2017 : Festival Ilmiah yang Meriah

Sekumpulan empat orang pelajar sekolah menengah tergesa-gesa memperkemaskan ikatan tali kasut, disapa “Nak ke mana selepas ini?”.

Teruja mereka menjawab,

“Explorace! Petang nanti tengok kami ambil hadiah atas pentas, ya!”

Penuh keterujaan suasana pada tengahari itu, sebelum aktiviti From Zero to Hero bermula, sebuah pertandingan berbentuk explorace yang tugasan-tugasan diberi adalah bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semasa STEM Day 2017, 20 Julai lepas.

From Zero to Hero yang disertai oleh 140 orang pelajar sekolah hanyalah salah satu daripada pelbagai aktiviti yang ada sepanjang STEM Day 2017, sebuah program kerjasama antara Iskandar Regional Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) sempena dengan Iskandar Learning Festival 2017.

Turut bekerjasama, tuan rumah STEM Day 2017, UniKL MITEC Bandar Seri Alam, Centre of Engineering Education (CEE) UTM, Kolej Tuanku Canselor UTM, dan UiTM Pasir Gudang.

Dari jam sembilan pagi hingga lima petang, antara aktiviti yang disediakan untuk sekitar 900 orang pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuklah Creative Science Booths dan pameran di dewan utama, ceramah-ceramah seperti Inisiatif Pengukuhan STEM, STEM Apps Challenge dan Meet The Scientists serta bengkel-bengkel seperti Guru Abad ke-21, Science Communication, dan Arduinio yang memberi pendedahan dan latihan kepada para guru dan pelajar.

STEM Day 2017 bertujuan mendedahkan tentang STEM kepada orang ramai secara percuma dalam banyak aspek, termasuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah, dalam kehidupan seharian, pengajian tinggi dan kerjaya serta menyediakan platform hiburan berfaedah dengan aktiviti interaktif dan permainan menarik yang memasukkan elemen pengetahuan STEM.

“Para pengunjung perlu menyertai sekurang-kurangnya empat aktiviti bagi mendapatkan sijil penyertaan STEM Day.

Demonstrasi menerbangkan drone.
Demonstrasi fizik.

“Saya sebagai krew yang bertanggunjawab dalam urusan pendaftaran dan sijil sempat menemu ramah beberapa pengunjung dan kebanyakannya menyatakan aktiviti demonstrasi drone dan pameran di dewan utama merupakan aktivitik yg paling mereka suka,” kata Rozana Alik, salah seorang krew STEM Day yang merupakan mahasiswa UTM.

“Terdapat dua ucaputama semasa STEM Day. Ucaputama pertama disampaikan oleh Prof. Dr. Baharuddin Aris, Dekan, Fakulti Pendidikan, UTM yang bertajuk “Embedding Technology, HOTS, Culture and Values in STEM Education” manakala ucaputama kedua disampaikan oleh Dr Ihsan Ismail daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertajuk “Inisiatif Perkukuhan STEM”.

Selain itu, pelbagai ceramah, bengkel, kursus dan forum turut disampaikan oleh pakar STEM daripada Fakulti Sains, Fakulti Pendidikan, UTM; IRDA, UiTM, Young Scientists Network, UTMSPACE dan syarikat seperti APG Plantation, Alexandria Books, Thinker Space, Cryocord Malaysia dan sebagainya.”

Turut dianjurkan, forum bertajuk ‘Careers in STEM’ yang membincangkan kerjaya dalam bidang STEM bersama moderator, pensyarah kanan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Suhairul Hashim yang juga merupakan ahli Young Scientists Network – Academy of Science Malaysia (YSN-ASM) dan panel-panel jemputan, Dr Ooi Ghee Chien dari CryoCord Malaysia, Pengurus Bahagian Pengambilan Pelajar Biasiswa dan Alumni UTMSpace, Rosnizam Maarof, Mohammad, Pengarah Urusan APG Plantation Sdn Bhd, Dzarul Hafiz Dol Malek dan Penolong Rektor UiTM Pasir Gudang, Prof. Madya Dr. Ahmad Rafizan Mohamad Daud.

Jelajah Sains 2.0 turut dilaksanakan bersempena dengan STEM Day 2017 yang melibatkan tujuh sekolah di bawah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dalam dua acara iaitu Pertandingan Saintis Cilik Kreatif (SCK), di mana para pelajar membuat demonstrasi tentang Sains selama 15 minit dan Bengkel Autocar yang memberi pendedahan asas elektronik, pengaturacaraan komputer dan mekanikal autocar kepada pelajar-pelajar dan guru-guru mereka.

Jelajah Sains adalah satu program berkala yang menekankan pembudayaan pembelajaran Sains dan Matematik yang interaktif dan berterusan, anjuran Fakulti Sains UTM dan JPNJ dengan kerjasama Yayasan Penyayang MPJBT.

“Bagus ada contoh penggunaan analogi dan props ni, kebetulan saya memang nak ajar topik Campuran dan Sebatian tu nanti. Maka bengkel ini amat membantu saya,” kata salah seorang guru, peserta bengkel Science Communication memberi komen selepas selesai bengkel yang menekankan kepentingan dan teknik penyampaian Sains dari perspektif komunikasi dan ucapan efektif.

STEM Day 2017 yang julung-julung kali diadakan dan mendapat kerjasama banyak pihak ini ditutup dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah untuk beberapa pertandingan termasuk pertandingan 3 Minute STEM. Tahniah kepada semua peserta dan pemenang.

Hari yang diisi dengan pelbagai perkongsian pengetahuan mahupun praktikal kemahiran diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada para pengunjung dalam mengaplikasikan STEM.

Keseronokan yang dialami terutama oleh para pelajar bukanlah satu hari yang diluangkan seperti di taman tema yang meriah, tetapi sebuah festival meriah yang ilmiah.

Oleh;

Nor Ain Husein, PhD                                                                                                                                                                                                                                                                           Jabatan Fizik, Fakulti Sains

Explore More