JOHOR BAHRU, 17 Julai 2017 – Warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disarankan supaya berganding bahu antara satu sama lain serta memerah seluruh kecerdikan untuk terus menjayakan kelangsungan universiti.
Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, umat Islam secara amnya tidak diajar untuk menjadi lemah ketika menjalani ibadah puasa ataupun apa sahaja cabaran tetapi sebaliknya berjaya mencapai kemenangan besar dalam peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan.
Menurutnya, dalam konteks mengekalkan kelangsungan UTM, maka kaedah berkenaan seharusnya dilihat dengan lebih mendalam.
“Renungilah perit jerih generasi terdahulu mengharungi sejarah penubuhan UTM melalui rentetan peristiwa yang panjang dan penuh liku.
“Sejak itu, universiti ini terus berkembang dan sehingga kini merupakan penyumbang utama sumber tenaga negara dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya di perhimpulan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.
Prof. Wahid berkata, setelah UTM melakar pelbagai kejayaan yang boleh dibanggakan bersama, tidak ada alasan bagi UTM dalam usia 45 tahun untuk gagal dalam menangani cabaran.
“Penggemblengan semua sumber dan kepakaran secara cekap dan optimum serta bersinergi mampu mengubah cabaran getir menjadi peluang untuk mara ke hadapan,” katanya.
Beliau kemudiannya menyertai kakitangan universiti itu dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017 yang berlangsung di Dataran Agora.