November 8, 2024

Search
Close this search box.

QS University World Ranking 2017/18: UTM naik di tempat ke 253

PUTRAJAYA, 8 Jun 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperbaiki kedudukannya dalam QS World University Rankings 2017/2018 dengan melompat 35 anak tangga ke kedudukan  253.

Dato’ Seri Idris Jusoh mendengar penjelasan pencapaian terbaharu dalam ranking dunia.

UTM menduduki tempat ke 288 pada penarafan 2016/17 dan pencapaian itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak 2013 yang menyaksikan peningkatan 102 anak tangga.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar menberikan penerangan mengenai pencapaian UTM.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, kejayaan itu meletakkan UTM dalam kalangan satu peratus universiti terbaik dunia daripada anggaran 26 ribu universiti yang terdapat di seluruh dunia.

“Berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi yang dinilai, UTM membuat penambahbaikan dalam hampir semua kategori dan mendapat mata tertinggi dalam petunjuk pelajar fakulti.

Profesor Wahid ditemubual oleh watawan sambil ditemani oleh Pro Naib (Canselor) Antarabangsa Profesor Dr Nordin yahaya.

“Prestasi yang ditunjukkan itu adalah sebahagian besarnya disumbang oleh komitmen yang tinggi oleh staf akademik dan aktiviti penyelidikan yang menyumbang kepada pencapaian kecemerlangan,” katanya di sidang media mengenai pencapaian Universiti Awam (UA) dalam QS World University Rankings 2017/2018  bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Marry Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nor, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Profesor Wahid berkata, kejayaan itu adalah sejajar dengan Pelan Global UTM 2012-2020 untuk meletakkan UTM dalam kelompok 50 buah universiti terbaik dunia bagi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan menjelang 2020.

“Bagi meningkatkan lagi kecemerlangan, UTM sedia melibatkan diri dalam kerjasama penyelidikan dengan rakan kongsi di seluruh dunia, terutama untuk kebaikan bersama.

“Selain itu, UTM akan terus memberi tumpuan kepada asas pendidikan yang berkualiti, meningkatkan keupayaan akademik dan penyelidikan dan mempertingkatkan lagi reputasi baik di peringkat global,” katanya.

Explore More