April 27, 2024

Search
Close this search box.

AMTEC sumbang mesin proses air untuk berbuka puasa

JOHOR BAHRU, 5 Jun 2017 – Pusat Pentelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memasang sistem pemprosesan air bersih menggunakan Teknologi Membran Osmosis Balikan di Masjid Sultan Ismail (MSI) UTM.

Sistem pemprosesan air menggunakan teknologi membran osmosis balikan sumbangan AMTEC ditempatkan di ruang penyediaan makanan MSI.

Sistem pemprosesan itu direka khas bagi menghasilkan air tulen bersih mengikut piawaian kualiti air yang telah ditetapkan dan selamat digunakan.

Jurucakapnya, Mohd Shuhaimi Abdullah berkata, produk itu merupakan antara hasil daripada Program UTM Technology Showcase.

“Program pemasangan Teknologi Membran Osmosis Balikan ini dijayakan oleh kumpulan tanggungjawab sosial korporat AMTEC dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga (FKT) dan Pengurusan MSI UTM untuk sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sistem ini berkeupayaan menampung keperluan jemaah kariah di MSI seramai 1,500 orang pada setiap kali majlis berbuka puasa diadakan,” katanya.

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat itu merupakan kali kedua diadakan bermula pada Ramadan  tahun 2016 dan akan diteruskan pada masa akan datang khusus untuk warga UTM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Aminuddin Ruskam berkata, sistem penapis air itu digunakan sebagai sumber air utama minuman semasa iftar di MSI.

“Sistem ini dilengkapi dengan alat pengoperasian secara separa automatik dan cahaya ultraungu untuk membekalkan air minuman asas yang bersih dan selamat.

“Air ini selanjutnya akan digunakan oleh staf masjid untuk dibancuh dengan pebagai perisa air untuk keperluan jemaah bagi majlis iftar pada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan air minuman iftar di MSI kini menjadi lebih mudah kerana sistem itu dapat mengantikan proses memasak air paip sebelum minuman dibancuh.

Explore More