April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM-MBJB anjur Karnival Suka Belajar

JOHOR BAHRU, 7 Mei 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) dan Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan Karnival Suka Belajar 2017.

Ir Hajah Nazatul Shima (kiri) merasmikan Kelab Suka Belajar.

Karnival itu telah dirasmikan oleh, Timbalan Setiausaha MBJB Ir. Hjh. Nazatul Shima Mohamad yang mewakili Datuk Bandar, Hj. Rahim Hj. Nin bertempat di Dewan Raya Kg. Melayu Majidee.

Pengarah Program, Marlina Ali berkata, karnival itu dirancang khusus untuk meningkatkan minat dan sikap positif pelajar terhadap matapelajaran sains, teknologi, kejuruteraan  dan matematik (STEM).

“Program ini direka untuk memperkasa kemahiran berfikir, mengajak ibubapa terlibat sama dalam memberikan galakan dan menginspirasikan anak-anak mereka untuk belajar bersama dengan rakan sebaya secara berkumpulan di Kg. Melayu Majidee.

“Bagi UTM pula, penglibatan secara langsung mahasiswa Fakulti Pendidikan dalam karnival ini dapat memberikan peluang dan ruang untuk mereka berkongsi pengetahuan dan kemahiran kepada komuniti setempat,”katanya.

Marina berkata, menerusi program itu kepelbagaian aktiviti pembelajaran dapat dijalankan menerusi penubuhan Kelab Suka Belajar dan diharapkan dapat mengintegrasikan kecerdasan kognitif dan pengetahuan asas STEM dalam rangkaian pembelajaran pelajar.

Katanya, program dan aktiviti pendidikan yang telah dirancang akan dapat melahirkan golongan celik minda dan mencintai ilmu pengetahuan.

“Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara yang santai dan menyeronokkan di samping berpeluang untuk berkomunikasi dengan warga UTM dan juga masyarakat setempat,” katanya lagi.

Seramai 140 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar kawasan Majidee dan Larkin telah menyertai program berkenaan.

Bagi menyokong kelancaran program, seramai 70 orang mahasiswa UTM dan 30 pensyarah dan kakitangan telah terlibat.

Turut hadir adalah Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar Fakulti Pendidikan UTM, Prof. Madya Dr. Azlina Mohd. Kosnin mewakili Dekan Fakulti, Prof. Dr. Baharuddin Aris.

Explore More