April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM pemenang utama BizPitch Perfect 2017

JOHOR BAHRU, 5 Mei 2017 – Pelajar Sarjana Sarjana Sains (Keusahawan Teknologi Maklumat), Fakulti Komputeran, Mohd Azhar M. Arsad dipilih sebagai pemenang utama BizPitch Perfect 2017 anjuran Perbadanan Usahawan (EDC) Johor yang diadakan di Pasir Gudang, hari ini.

Mohd Azhar (bertopi) dan pemenang yang lain bergambar bersama Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ribu di samping tercalon untuk ke separuh akhir Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang menawarkan hadiah bernilai RM500 ribu.

Mohd Azhar menghasilkan Buku Mewarna Menggunakan Teknologi Augmented Reality Melalui Telefon Pintar yang berjaya menambat hari juri yang terdiri daripada pihak TERAJU, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan EDC kerana memberi impak yang besar dalam dunia pendidikan.

Inovasi yang dihasilkan sesuai dengan trend Gen Y & Z yang memerlukan bantuan mengajar lebih interaktif di mana sokongan kandungan digital amat penting untuk visualize secara terus kepada mereka.

Sebanyak 70 kumpulan menyertai pertandingan berkenaan pada peringkat pemulaan yang kemudiannya disaring kepada 26 kumpulan di peringkat separuh akhir dan 10 terbaik dipilih memasuki peringkat akhir.

Sebelum itu Mohd Azhar telah menyertai Bizpitch Perfect 2016 tetapi hanya mampu sampai ke peringkat akhir.

Minat  yang tinggi terhadap usahawan digital mendorong Mohd Azhar menghantar sekali lagi penyertaan dalam program Bizpitch Perfect 2017.

Mohd Azhar adalah Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Syarikat V3X Malaysia Sdn Bhd, iaitu salah satu inkubator MaGICX di UTM-IRDA Magicx, T03 UIRL Bulding, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau merupakan anak jati Pekan Senggarang, Batu Pahat, telah berkhidmat dengan UTM Sebagai Penolong Pegawai Penyelidik sejak tahun 2007 sehingga tahun 2016.

Beliau menamatkan perkhidmatannya di UTM kerana minat dalam menceburi bidang Usahawan Digital.

Explore More