April 16, 2024

Search
Close this search box.

FKE UTM bantu bekal tenaga elektrik di Kampung Orang Asli Pucur

KLUANG, 25 Mei 2017 – Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Politeknik Mersing mengadakan projek perintis membekalkan tenaga elektrik solar 100 peratus untuk Eco-Balai Rawatan di Kampung Orang Asli, Pucur, Kahang.

Panel solar dipasang di perkarangan Balai Rawatan mampu membekal tenaga elektrik  24 jam sehari.

Ketua Projek Dr Jasrul Jamani Jasman berkata, projek perintis itu membolehkan Eco Balai Rawatan mendapat bekalan elektrik 24 jam sehari dan memudahkan penduduk menjalankan aktiviti pada waktu siang.

Menurutnya, bekalan elektrik hanya dapat disalurkan ke balai berkenaan dengan menggunakan jenerator yang beroperasi mulai jam tujuh malam hingga enam pagi setiap hari.

Profesor Dr Johari menerima replika cek  sumbangan BIMB.

“Penduduk kampung terpaksa membelanjakan lebih RM2,000 sebulan untuk menjana tenaga elektrik dengan menggunakan jenerator bagi kegunaan 27 keluarga yang menghuni 18 buah rumah.

“Projek perintis ini bagi memberi pendedahan kepada penduduk kampung terhadap penggunaan tenaga elektrik solar yang memerlukan penyelenggaraan yang berterusan.

“Panel solar perlu diselenggara kerana perrmukaannya yang terdedah kepada panas, hujan dan debu boleh menyebabkannya berkulat dan bekalan elektrik tidak dapat dijana 100 peratus,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian di kampung berkenaan.

Dr Jasrul berkata, bagi memudahkan penduduk menyelenggara 16 keping panel solar yang mampu membekalkan 250 watt tenaga elektrik setiap satu, pihaknya menyediakan garis panduan penyelenggaraan yang dilancarkan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Profesor Dr Johari Halim Shah Osman.

Balai Rawatan untuk kemudahan kira-kira 100 penduduk kampung.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Wan Assim Wan Sheikh, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Profesor Dr Mohd Shahir Shamsir Omar, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN), Prof. Madya Dr Nur Naha Abu Mansor dan Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Profesor Dr Mohd Kamal Abdul Rahim.

Katanya, garis panduan yang dilengkapi dengan gambarjarah memudahkan Orang Asli di kampung itu menyelenggara sistem solar bagi mengekal keberkesanan menjana elektrik dan mengekalkan jangka hayatnya.

Seramai 15 orang pelajar dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan 15 pelajar Politeknik Mersing terbabit menjayakan projek berkenaan .

Bateri untuk menyimpan tenaga elektrik solar.

“BIMB yang menyumbang sebanyak RM53 ribu bagi membangunkan sistem solar, Politeknik Mersing yang melakukan kerja-kerja pendawaian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat BIMB, Azmir Abdul Malek berkata pihaknya membelanjakan RM80 ribu untuk membekalkan tenaga solar, memperbaiki bangunan itu dan memberi sumbangan kewangan serta barangan makanan kepada semua keluarga di kampung berkenaan.

Manakala Tok Batin, Semanggar Ahmad berharap, projek membekalkan tenaga solar itu dapat diperluaskan kepada semua rumah penduduk bagi meringankan beban menanggung kos membeli diesel melebihi RM2,000 setiap bulan.

Explore More