JOHOR BAHRU, 8 April 2017 – Program Generasi Mahasiswa Proaktif 2017 (GEMPAK’17) telah melabuhkan tirai di Sungai Sebulong, Kampung Melayu Majidee.
Majlis penutup GEMPAK’17 telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang turut di hadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.
Tan Sri Shahrir dalam ucapannya melahirkan rasa bangga terhadap mahasiswa UTM kerana telah memilih kawasan Sungai Sebulong sebagai tempat persinggahan terakhir mereka dan sudi berkhidmat serta menyalurkan bantuan khidmat masyarakat kepada penduduk di sana.
Beliau juga menyatakan bahawa kawasan Sungai Sebulong yang merupakan persisiran herba adalah pilihan yang terbaik untuk diterokai oleh anak-anak muda zaman kini.
Di samping itu, terdapat aktiviti tanaman pokok herba yang menggunakan teknik vertikultur telah diadaptasikan di Sungai Sebulong.
Teknologi vertikultur ini telah memberikan impak positif serta dapat meningkatkan perkembangan teknologi di kawasan Sungai Sebulong.
Selain itu, aktiviti lontar Mudball juga telah diaplikasikan di aliran anak sungai Sungai Sebulong.
Kelebihan mudball ini dipercayai mampu merawat anak sungai yang telah tercemar serta menghapuskan pembiakkan jentik-jentik.
Bantuan Siswa Bersamamu juga tidak ketinggalan diadakan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Sungai Sebulong.
Hampir 30 buah keluarga yang telah menerima bantuan Siswa Bersamamu. Perasaan gembira dan terharu jelas tampak di wajah mereka apatah lagi apabila bantuan itu disalurkan oleh golongan pelajar universiti.
Sepanjang satu minggu program GEMPAK’17 itu berlangsung, jelas dan nyata sekretariat GEMPAK’17 berasa sangat bangga dan puas dengan hasil yang telah dicapai.
Matlamat program khidmat masyarakat GEMPAK’17 telah terlaksana untuk menjadi sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk berbakti kepada seluruh masyarakat Johor.
Pengarah GEMPAK’17, Syazwan Saad menyatakan hasratnya bahawa beliau ingin melihat program ini dijalankan secara tahunan dan tidak mustahil untuk diteruskan di seluruh Malaysia.
Justeru itu, dengan penglibatan mahasiswa melalui program GEMPAK’17 ini maka konsep “student back to unity” dapat dikekalkan.