April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM anjur ‘Diversity and Inclusion Camp’ kali ke-5

JOHOR BAHRU, 24 Mac 2017 –  Seramai 160 peserta dari Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia, Indonesia dan Singapura telah menyertai program ‘Diversity and Inclusion Camp’ kali ke- 5 anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan KDU University Collage.

Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Mahasiswa dan Alumni Prof. Dato’ Dr Mohd Ismail Abd Aziz merasmikan Diversity and Inclusion Camp.

Program yang dianjurkan buat kali kelima itu mendapat sokongan daripada Global Movement of Moderate Foundation (GMMF) dan juga Yayasan Putera Sampoerna (Putera Sampoerna Foundation) sebagai penaja rasmi.

Penyelaras Program Muhammad Hasyiq Hamdan berkata, penganjuran program itu mula diadakan semenjak tahun 2012 setelah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

“Ia berperanan sebagai landasan untuk mendidik dan memupuk serta membimbing masyarakat global pasa masa hadapan mengenai dunia berdasarkan perspektif kesederhanaan, kewujudan suasana yang harmoni, demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan ini dapat ditunjukkan melalui cara mereka menghargai, menerima serta meraikan kepelbagaian melalui penyertaan ini,” katanya.

Muhammad Hasyiq berkata, antara matlamat penganjuran program itu adalah bagi memupuk bakal pemimpin korporat dan komuniti masa depan untuk menjadi warga global melalui peningkatan kesedaran melalui kepelbagaian.

“Ini juga akan membolehkan para peserta lebih berjaya di tempat kerja dan pergaulan dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang,” katanya.

Bagi menjayakan matlamat program ini, para peserta dikehendaki membentuk beberapa kumpulan sebelum diberikan beberapa tugasan.

“Syarat utama pembentukan kumpulan ini adalah ia mestilah dianggotai oleh peserta dari pelbagai negara, agama dan bangsa bagi menimbulkan semangat muhibbah antara satu sama lain.

“Kumpulan ini kemudiannya diberikan beberapa tugasan seperti penyelesaian masalah dan juga beberapa tugasan berbentuk global,” katanya.

Selain tugasan luar, peserta juga diberikan ceramah mengenai globalisasi oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Dato’ Dr. Nasharudin Mat Isa.

Explore More