November 27, 2024

Search
Close this search box.

MB Johor lancar Program Usahawan Digital

JOHOR BAHRU, 28 Mac 2017 – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin telah melancarkan Program Usahawan Digital 2017 dalam usaha memperkasakan golongan usahawan di Johor menerusi platform digital teknologi terkini.

Dato’ Mohamed Khalid Nordin menandatangani plaque perasmian.

Pelancaran diadakan di Makmal Unit Pengurusan Universiti (UPMU) yang menempatkan Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGICX).

Program itu bakal menjadi platform kepada lebih ramai usahawan memperkembangkan perniagaan masing-masing melalui pembangunan produk-produk berasaskan digital.

Ekonomi digital kini menjadi satu daripada agenda dan tumpuan penting kerajaan yang dilihat berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Dengan itu, pihak kerajaan Johor telah memulakan inisiatif pembangunan usahawan digital dan dengan hasil kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan (EDC of Johor) bersama MaGICX, program usahawan digital akan dijalankan buat pertama kali pada tahun 2017.

Objektif program usahawan digital adalah untuk memberikan peluang dan pendedahan kepada golongan belia untuk menjadi usahawan digital sambil meningkatkan minat terhadap pembangunan aplikasi dan kandungan kreatif digital seterusnya dapat melahirkan bakat tempatan bertaraf antarabangsa.

Program ini mensasarkan penyertaan dari pelajar institusi pengajian tinggi, golongan belia dan golongan usahawan kecil yang berminat untuk menceburi, memperkasakan perniagaan dan meningkatkan kemahiran di dalam ekonomi digital.

Program usahawan digital 2017 akan melalui 3 fasa iaitu, fasa kesedaran, fasa latihan dan fasa inkubator akan mengambil masa selama 9 bulan yang melahirkan kumpulan usahawan digital baru di Johor.

Fasa pertama akan dijalankan di beberapa lokasi strategik seperti universiti dan agensi kerajaan bagi menghebahkan dan memberi maklumat tentang program ini lebih terperinci kepada orang ramai.

Fasa kedua akan menekankan terhadap pembangunan dan latihan di dalam bidang pembangunan keusahawanan, teknologi maklumat dan multimedia kreatif yang akan diberikan kepada peserta program dan kepada kumpulan yang terpilih, mereka layak ke fasa seterusnya.

Fasa pembentangan idea dan inovasi produk digital juga akan dilaksanakan dalam fasa ini. Fasa ketiga program akan memberikan penempatan inkubator di MaGICX selama 6 bulan di mana usahawan akan dididik dengan lebih intensif bagi mereka mempersiapkan produk untuk dibentangkan kepada pihak pelabur.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengikuti program usahawan digital dengan turut hadir ke lokasi pemupukan yang akan dimaklumkan melalui laman web program.

Explore More