April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kajian semula operasi bas dalam kampus guna kaedah matematik

JOHOR BAHRU, 20 Mac 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang dalam usaha untuk mengoptimumkan kos perkhidmatan bas mahasiswa dengan menggunakan kaedah matematik bagi merealisasikan saranan perbelanjaan berhemah sektor awam.

Perkhidmatan bas dalam kampus yang dikendali oleh syarikat swasta.

Usaha itu bagi melestari perbelanjaan Universiti selaras dengan keadaan semasa berikutan pemotongan bajet Universiti Awam (UA).

Ketua Projek, Dr. Zaitul Marlizawati Zainuddin berkata, beliau dan kumpulan penyelidikannya telah diminta oleh Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) supaya menjalankan penyelidikan tentang operasi bas mahasiswa.

“Pihak HEMA meminta kami menjalankan kajian untuk menentukan samada kos  perkhidmatan bas mahasiwa boleh dikurangkan disebabkan perbelanjaan bagi manampung bayaran kepada pengusaha bas mencecah RM 1.8 juta pada tahun 2016.

“Pembayaran kepada operator bas adalah berdasarkan kepada bilangan dan jarak perjalanan sesebuah bas dan dengan mengurangkan bilangan bas tidak akan membantu dalam menurunkan kos,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan penyelidikan membuat kajian dengan meneliti semula beberapa aspek penting dalam operasi bas dalam kampus seperti jadual perjalanan dan jarak perjalanan bas.

“Kami juga meneliti semula perhentian bas sedia ada yang telah ditetapkan di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan mengenalpasti laluan terpendek yang boleh dilalui oleh bas,” katanya.

Menurut Dr. Zaitul, pihaknya menggunakan pendekatan matematik yang lebih dikenali sebagai ‘Operational Research’  bagi mengkaji pengoperasian sesuatu subjek.

Projek penyelidikan itu telahpun selesai dan laporannya sudah diserahkan kepada pihak HEMA pada bulan Februari lalu.

Laporan yang dikemukakan mengandungi cadangan peta laluan bas, jadual baru bagi bas beroperasi dan bilangan bas yang terlibat dalam mengangkut mahasiswa di dalam kampus.

Dr. Zaitul berkata, operasi praktikal hanya akan dijalankan pada cuti pertengahan semester yang dijadualkan pada bulan April 2017.

“Operasi praktikal hanya akan dijalankan pada waktu cuti semester supaya tidak mengganggu perjalanan mahasiswa di dalam kampus.

“Oleh yang demikian, keputusan penuh mengenai keberkesanan penyelidikan ini hanya akan diketahui pada bulan September 2017,” katanya.

Explore More