April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM anjur karnival udara di Mersing

JOHOR BAHRU, 20 Februari 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengadakan karnival udara ‘Mersing Fly-In & Air Carnival 2017’ di Lapangan Terbang Mersing pada 25 Februari 2017 bagi mempromosikannya sebagai hub perhubungan pelancongan.

Imej dari Google menunjukkan Lapangan Terbang Mersing yang terletak di tepi pantai.

Lapangan Terbang Mersing pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah lapangan terbang yang beroperasi dengan penerbangan berjadual yang menghubungkan Kuala Lumpur, Mersing dan Pulau Tioman.

Bagaimanapun, lapangan terbang itu yang mempunyai landasan rumput sepanjang 500 meter yang membolehkan pesawat kurang daripada 50 penumpang mendarat dan berlepas telah lama tidak beroperasi.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahui daerah Mersing mempunyai sebuah lapangan terbang yang terletak di Kampung Sri Pantai yang popular dalam kalangan pelancongan pada suatu masa dahulu.

“Lapangan terbang itu adalah pintu masuk ke daerah Mersing yang menjadi lokasi persinggahan dan tumpuan orang ramai, terutama pelancong yang ingin menikmati keindahan pantai dan alam semula jadi,” kata Pengarah Karnival, Wan Zaidi Wan Omar.

Pesawat tanpa pemandu Camar UTM akan dipamer di karnival udara.

Menyedari potensi lapangan terbang berkenaan sebagai hub perhubungan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara, sekumpulan penyelidik dari UTM telah menjalankan kajian “Kemungkinan Pembangunan Lapangan Terbang Mersing Sebagai Hub Perhubungan Pelancongan”.

Kajian yang sedang dijalankan itu dilakukan menerusi Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) yang diaspirasikan oleh Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin bagi membantu memacu ekonomi berasaskan pelancongan.

Beliau berkata, Mersing telah dipilih sebagai daerah pelancungan yang sewajarnya dibangunkan kerana memiliki banyak aset pelancongan seperti pulau peranginan, pantai, sungai dan hutan hujan tropika yang masih terpelihara.

Selain mengumpul data pembangunan pelancongan, UTM akan mengadakan karnival udara bagi mempromosikan kewujudan Lapangan Terbang Mersing, seterusnya menjadi pemangkin industri pelancongan di daerah berkenaan.

“Antara pengisian karnival tersebut adalah acara pendaratan dan pameran pesawat ringan, pertunjukan payung terjun dan penerbangan oleh paragliding di ruang udara lapangan terbang berkenaan.

“Selain itu, pameran dan ceramah kerjaya akan diadakan oleh Jabatan Aeronautik, UTM selaku tuan rumah dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi mendedahkan masyarakat kepada industri kejuruteraan aeronautik dan penerbangan awam yang terdapat di Malaysia,” katanya.

Jabatan Aeronautik UTM akan mempamerkan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang dicipta hasil penyelidikan dan pembangunan tenaga pakar jabatan berkenaan yang dikenali sebagai Camar UTM.

Satu pertandingan drone helikopter (quadcopter) juga akan diadakan, disertai oleh beberapa buah sekolah menengah dari daerah Kota Tinggi.

Dalam pertandingan itu, pelajar akan mempamerkan kemahiran mengemudi dan mengawal pergerakan drone melepasi beberapa halangan yang disediakan.

Karnival udara itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga empat petang itu dibuka kepada orang ramai.

Explore More