Disember 19, 2024

KPT dan UTM Bangun Modal Insan – Majlis Penganugerahan Sijil Profesional Sains Data Untuk Penyediaan Sains Data Dalam TVET

PUTRAJAYA, 27 Februari: Majlis Penganugerahan Sijil Profesional Sains Data yang berlangsung di Hotel Dorsett Putrajaya hari ini menyaksikan 10 pensyarah daripada pelbagai politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia menerima sijil professional masing-masing setelah berjaya menyelesaikan kursus tersebut yang mengambil masa selama 4 bulan. Majlis tersebut dirasmikan oleh Dato Amir Md Noor, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti.

UTM Big Data Centre yang dianugerahkan sebagai GPU Research Centre yang pertama di Malaysia oleh NVIDIA Corporation, USA  pada tahun 2015, telah mengendalikan Kursus Persijilan Profesional Sains Data kepada pensyarah politeknik bermula daripada awal November tahun 2016 sehingga akhir Februari 2017. Kursus selama 4 bulan tersebut telah memberi latihan dan pendedahan yang mendalam kepada para peserta dengan kemahiran-kemahiran penting yang perlu ada pada seorang saintis data. Para peserta mempelajari lebih daripada 5 modul pembelajaran termasuk analitik data besar dengan menggunakan UTM Cost-Effective Platform yang dibangunkan sendiri oleh penyelidik dan pengajar dari UTM Big Data Centre, bahasa pengaturcaraan R/Python dan visualisasi sains data. Kursus profesional ini juga memfokuskan kepada 85% aktiviti praktikal melalui penggunaan data industri secara  intensif, disusuli pula dengan penjanaan maklumat dan analitik daripada data masalah dunia sebenar.  Kursus ini juga melibatkan 5 industri iaitu daripada TM RnD, Unit Perancang Ekonomi Johor (UPENJ), Rudy Holiday Sdn. Bhd, Shahmie Travel Sdn. Bhd dan Naturel Kiss Sdn Bhd. Ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta permasalahan dan kaedah penyelesaian sains data dalam menyelesaikan masalah indusri. UTM- Big Data Centre menawarkan 3 jenis Kursus Persijilan Profesional Sains Data iaitu pakej emas yang mengambil masa 4 bulan, pakej perak selama 2 bulan dan pakej gangsa selama 2 minggu.

Pengarah UTM Big Data Centre, Professor Dr Siti Mariyam Shamsuddin di dalam ucapannya mengucapkan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi kepada UTM Big Data Centre khususnya Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) dalam mengendalikan Kursus Persijilan Profesional Sains Data. UTM Big Data Centre yang aktif dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan analitik sains data dan data raya telah menjalinkan kerjasama dengan industri antarabangsa seperti NVIDIA, Jeppesen-Boeing dan Institut Politeknik Guarda, Portugal. Sejak penubuhannya pada tahun 2014, sebanyak 5 enrolmen telah dilaksanakan bagi Kursus Pensijilan Profesional dalam Sains Data yang melibatkan pelbagai pakej. UTM melalui Big Data Centre amat komited untuk menjadikan  “Universiti hab bagi sains data besar berkelajuan tinggi bersandarkan kepintaran manusia juga sebagai pelantar melatih lebih ramai pakar sains data berkualiti tinggi bagi menyokong keperluan bakat tersebut di Malaysia”.

Explore More