JOHOR BAHRU, 23 Februari 2016 – Program Kesedaran Kanser 2017 akan berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 28 Februari 2016.
Aktiviti sehari itu adalah bersempena dengan memperingati Hari Kanser Sedunia yang berlangsung pada 4 Februari setiap tahun.
Penyelaras Program, Mohd. Faizal Abdul Jalal berkata, program berkenaan akan dihoskan oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) dan mensasarkan staf dan mahasiswa UTM.
“Matlamat utama penganjuran program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit kanser kepada komuniti UTM.
“Pelawat juga akan diberikan pendedahan mengenai segala jenis penyakit kanser termasuklah simptom pengesanan awal penyakit dan rawatan bagi mengelakkan kematian,” katanya.
Mohd. Faizal berkata, antara pengisian program yang akan berlangsung adalah Bicara Kanser siri 1 dan 2 yang akan menampilkan Pakar Perubatan Kanser Dr. Badrul Zaman Muda dan Dr. Lo Woei Chung.
“Pengunjung juga berpeluang untuk menghadiri sesi temubual bersama bekas pesakit kanser bagi memahami sendiri pengalaman individu ini dalam melawan penyakit berbahaya ini,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar komuniti UTM mengambil peluang bagi memperkayakan ilmu dan pengetahuan mengenai penyakit ini.
“Adalah menjadi harapan kami sebagai penganjur supaya pengunjung dapat memanfaatkan program yang dianjurkan dalam mengukuhkan ilmu pengetahuan mengenai penyakit kanser kerana sesungguhnya pencegahan itu lebih baik dari rawatan,” katanya lagi.
Program ini juga mendapat kerjasama dari Regency Specialist Hospital iaitu salah sebuah pusat perubatan swasta terkemuka di Bandaraya Johor Bahru.