UTM bina rumah pintar lestari – UTM Eco-Home

Dato Seri Zaini menandatangani plaque merasmikan UTM Eco-Home.

JOHOR BAHRU, 11 Disember 2016 – Sekumpulan penyelidik dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Muhd Zaimi Abd Majid telah berjaya membina sebuah rumah pintar lestari, UTM Eco-Home di kampus UTM Johor Bahru.

Kumpulan penyelidik yang terlibat adalah daripada Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISIIC), UTM Construction Research Centre (UTM-CRC), Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan Centre of Electrical Energy Systems (CEES).

Prof. Dr. Muhd Zaimi  yang juga Pengarah Kanan ISIIC, berkata pihak industri turut terlibat dalam pembinaan UTM Eco-Home dengan memberi penajaan, antaranya Bluescope Lysaght, Poly Glass Fiber Insulation, Stagno Tech, Ditrolic Solar Technology dan Chee Kong Engineering & Construction Sdn Bhd.

Majlis pelancaran UTM Eco-Home telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, di UTM pagi ini.

“Projek UTM Eco-Home merupakan kesinambungan daripada penyertaan UTM dalam Solar Decathlon China (SDC2013) yang diadakan di Datong, China dan pembinaannya dapat menjadi platform kepada penyelidik UTM yang berkaitan untuk mengetengahkan hasil penyelidikan mereka.

“Selain daripada itu, dengan adanya UTM Eco-Home, informasi dan teknologi berkaitan seperti pembinaan rumah solar, ICT dan teknologi rumah pintar dapat dikongsi dan disebarkan kepada masyarakat umum,” kata Profesor Muhd Zaimi.

UTM Eco-Home.

UTM Eco-Home berkeluasan 1,450 kaki persegi, mengambil masa kira-kira setahun untuk dibina dengan peruntukan hampir RM 500,000. UTM Eco-Home telah direkabentuk dan dibina dengan ciri-ciri lestari, lengkap dengan teknologi rumah pintar serta penggunaan sistem tenaga diperbaharui.

UTM Eco-Home dibina menggunakan interlocking block dan konkrit bertetulang. Namun begitu, sebahagian struktur binaan UTM Eco-Home telah dibina dengan mengunakan produk-produk hasil penyelidikan UTM. Antaranya Innovative Modular Pad Footing System dan Eco-Crete. Bahan-bahan binaan berkenaan berkualiti tinggi, mesra alam, mampan serta memerlukan kos yang berpatutan.

Selain daripada itu, UTM Eco-Home turut menggunakan teknologi Fast Track Wall System (FTW). Penggunaan sistem FTW berupaya untuk mengurangkan 50 peratus masa pembinaan dan 10 hingga 15 peratus kos pembinaan.

“Sistem FTW merupakan sistem yang sangat efisyen kerana mempunyai kualiti yang tinggi walaupun dikendalikan oleh bilangan buruh yang sangat minimum dan ia juga merupakan sistem pembinaan yang mesra alam kerana menghasilkan lebihan yang minimum dan rendah jejak karbon,” katanya.

Banglo satu tingkat itu dibina dengan satu bilik tidur lengkap dengan bilik air, satu bilik air gunasama, ruang tamu, ruang makan, dapur serta bilik utiliti. Berkonsepkan small office-home office (SOHO), UTM Eco-Home dilihat mempunyai nilai komersial yang dapat memenuhi keperluan cara hidup moden masyarakat Malaysia.

Dato Seri Zaini mencuba peralatan pintar yang terdapat di UTM Eco-Home.

Rekabentuk dalaman yang fleksibel dengan sistem pengcahayaan dan pengudaraan yang semulajadi, dapat mengoptimumkan penggunaan ruang mengikut peranan yang dikehendaki.

Salah satu ciri utama UTM Eco-Home adalah mencapai kelestarian melalui kecekapan tenaga. UTM Eco-Home menggunakan tenaga diperbaharui dan tenaga solar. Dengan menggunakan teknologi Photovoltaic Module – Hetero-junction (HIT), UTM Eco-Home berupaya untuk menjana tenaga sebanyak 190W/m2.

Selain daripada itu, UTM Eco-Home menggunakan peralatan kecekapan tinggi sebagai menyahut misi dan visi UTM dalam program pengurangan tenaga elektrik dan juga pengurangan pencemaran udara. Peralatan-tersebut boleh dikawal oleh pengguna dengan menggunakan teknologi Smart Home Automation (SHA) menerusi sistem android telefon bimbit ataupun tablet.