Lakaran artis ladang solar apabila siap sepenuhnya.

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2016 – Projek ladang solar di perkarangan tempat letak kereta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur mampu menjana pendapatan sebanyak RM85 ribu setahun.

Pengarah Buisness Development Unit, Prof Dr Hamdani Saidi berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada program menjana pendapatan dengan menggunakan fasiliti yang terdapat di dalam kampus.

Sebahagian daripada kerangka yang telah dipasang panel solar.

Kerja memasang kerangka sedang giat dijalankan.

Pandangan projek ladang solar dari tingkat 17 Menara Razak.

Menurutnya, kawasan yang terlibat ialah perkarangan tempat letak kereta Masjid UTM KL, Menara Razak dan Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) seluas 70,640 kaki persegi membabitkan 145 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motosikal.

“Projek berkenaan dikendalikan oleh syarikat Matahari Suria Sdn Bhd dengan membina struktur berbumbung di kawasan tempat meletak kereta untuk dipasang dengan 3,283 keping panel solar yang berupaya menjanakan tenaga elektrik berkapasiti 1Mega Watt (1MW).

“Kawasan tempat letak kereta itu disewa kepada syarikat berkenaan bagi tempoh selama 22 tahun dan UTM akan mendapat pulangan berjumlah RM1.874 juta bagi tempoh berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, kos bagi kerja pemasangan kerangka dan panel solar yang bermula 19 September lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini membabitkan kos kira-kira RM9.5 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

Prof Hamdani berkata, pihaknya masih dalam perbincangan untuk menyediakan petak letak kereta khas di kawasan berkenaan untuk disewa kepada staf dan pelajar yang berminat.

Ladang solar itu dipercayai yang pertama dibina di Universiti Awam (UA) di negara ini.

Sementara itu, projek solar berskala besar dengan kos RM75 juta akan dibangunkan di UTM Johor Bahru tahun depan.

Projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Applies Energy Solutions Sdn Bhd (AES) di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga (ST) dijangka mampu menghasilkan 42 MW tenaga elektrik apabila siap sepenuhnya pada 2020.

Bagaimanaun, terma dan syaratnya berbeza dengan projek yang sedang dibangunkan di UTM Kuala Lumpur.