KUALA LUMPUR, 17 November 2016 – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi perintis kepada penawaran program Sarjana Muda Sains Komputer Kejuruteraan Data menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan kerja (WBL) bermula pada September 2016.
Program ini dikenali sebagai 2u2i kerana membabitkan aktiviti pembelajaran selama dua tahun di universiti dan dua tahun lagi di industri mematuhi standard yang dikeluarkan oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan antarabangsa Association for Computing Machinery (ACM).
Program ini menerapkan Akademia Baru Inovasi Pembelajaran (NALI) dan Work Based Learning (WBL) yang melibatkan gabungan pembelajaran di universiti dan penglibatan industry. Sehubungan itu, nisbah peratusan kursus di universiti dan di industri adalah sebanyak 44:56 peratus.
Sehubungan itu, peratusan kursus yang akan dijalankan di universiti adalah 44% dengan 56% daripada kursus tersebut dilaksanakan bersama industri.
Faedah pembelajaran secara 2u2i ini memberi pembelajaran dan pengajaran yang seimbang antara teori dan praktis untuk melahirkan graduan holistik.
Ini dapat dicapai menerusi pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan secara bersama dengan rangkaian industri terpilih sebagai smart-partnership antara fakulti dan industri.
Majlis pelancaran program ini dilakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di UTM kampus Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.
Dimajlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) Dato’ Yasmin Mahmood yang juga CEO@Faculty Programme, Fakulti Komputeran diundang untuk menyampaikan ucap utama.
Penawaran program ini bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memantapkan lagi kurikulum program dengan cara menambah penglibatan industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Program ini juga merealisasikan salah satu inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) di bawah Lonjakan 1 : Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.
Menerusi 2u2i, pengalaman pembelajaran pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan perkhidmatan secara efektif dapat diteroka di luar kampus yang mana pengalaman sebenar disediakan oleh industri.
Matlamat program 2u2i adalah untuk melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja mahir sebagai saintis komputer di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lulusan program ini mampu mengaplikasikan pengetahuan asas, prinsip pengiraan dan kemahiran sains komputer untuk membangunkan perisian dan mengurus serta menganalisa data dalam pelbagai bidang.
Di samping itu, mereka berkeupayaan untuk menjadi ketua atau usahawan dalam bidang sains komputer yang dilengkapi dengan kesedaran dan mengamalkan etika profesional dan tanggungjawab sosial sebagai saintis komputer.
Selain itu, program secara 2u2i dapat mempertingkatkan kemahiran teknikal dan generik melalui experiential learning bersama industri terpilih dan secara tidak langsung mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.
Di akhir pengajian, graduan bukan sahaja menerima anugerah ijazah dari UTM tetapi juga bersedia untuk menduduki pensijilan professional sebagai nilai tambah seperti Sijil Profesional Pentadbir Data.