April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM bina galeri Peranakan Cina Kelantan

prof Zaimi dan Lim bertukar dokumen erjanjian.
Prof Zaimi dan Lim bertukar dokumen perjanjian.

JOHOR BAHRU, 13 November 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membantu Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) membina galeri bagi mendaulatkan kebudayaan masyarakat Cina di negeri Kelantan.

Pengarah Pusat Kajian Alam Melayu (KALAM), Prof. Madya Dr. Raja Nafidah Raja Shahminan berkata, galeri berkenaan akan dibina di Tanah Merah, Kelantan dan dijangka siap pada tahun 2018.

Menurutnya, PPCK akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 ribu dalam bentuk geran penyelidikan untuk membolehkan KALAM menjalankan kajian bagi penghasilan kandungan bahan pameran di galeri berkenaan.

“Bagi merealisasikan kerjasama berkenaan KALAM dan PPCK memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk tempoh lima tahun membabitkan lima bidang utama,” katanya.

Perjanjian berkenaan ditandatangan oleh Dekan Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif (ISIIC) Prof. Dr. Muhd Zaimi Majid dan Pengerusi PPCK, Lim Kham Hong di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), hari ini.

Dr. Raja Nafidah berkata, bidang kerjasama merangkumi pendidikan dan penyelidikan, geran penyelidikan dan biasiswa, komerlisasi, pemindahan ilmu dan perkhidmatan masyarakat serta pertukaran maklumat.

Katanya, projek berkenaan diketuai oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina Dr Lim Yong Long.

Dr Lim menerangkan mengenai reke bentuk galeri.
Dr Lim menerangkan mengenai reka bentuk galeri.

Delegasi Persatuan p[eranakan Cina Kelantan.
Delegasi Persatuan Peranakan Cina Kelantan yang hadir pada majlis menandatangan perjanjian.
“Kandungan galeri ini akan meliputi tiga bahagian utama iaitu sejarah kedatangan, budaya dan identiti kaum Peranakan Cina Kelantan yang sering dikaitkan dengan keunikan budaya campuran Melayu Kelantan, Cina Hokkien dan Siam.

“Antara bahan yang bakal dipamerkan adalah senibina rumah tradisional masyarakat berkenaan yang berbumbung lengkong dan berlantai tinggi dan warisan wayang kulit dengan Tok Dalang Peranakan Cina Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, bahasa pertuturan ‘Hokkien Kampung’ yang dipengaruhi oleh tatabahasa Melayu dengan peminjaman perbendaharaan kata dari dialek Siam dan Melayu Kelantan turut dipamerkan.

Sementara itu, Lim Kham Hong berkata, pembinaan galeri itu amat penting sebagai satu platform untuk generasi muda dan orang awam untuk menghayati nilai budaya campuran yang terhasil dari proses adaptasi budaya dan penyelarasan identiti.

“Galeri ini asalnya adalah rumah milik salah seorang ahli PPCK dan akan diubahsuai menjadi galeri pertama di Malaysia yang mempamerkan budaya dan warisan Peranakan Cina Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, rumah berkenaan di pekan Tanah Merah dibina sekitar tahun 1920an menggunakan kayu cengal dan masih kekal utuh hingga hari ini.

“Rumah Cina Peranakan mempunyai reka bentuk luaran sama seperti rumah orang Melayu bertangga dan bertiang tetapi susun atur dalam rumah mengikut konsep Cina,” katanya.

 

 

 

 

Explore More