November 24, 2024

Search
Close this search box.

Bajet 2017: UTM ucap terima kasih kepada kerajaan negeri Johor

15055840_1291267840903986_5070744904461258953_nJohor Bahru – 17 November 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berterima kasih  atas kepercayaan  Kerajaan Johor untuk menggunakan kepakaran  penyelidik UTM  untuk kemajuan dan membantu dalam penyelesaian masalah di negeri ini dalam Bajet Negeri Johor  Tahun 2017.

Naib Canselor Prof Datuk Ir Dr. Wahid Omar berkata, kepercayaan itu dibuktikan melalui keyakinan Kerajaan memperuntukan sejumlah lebih RM1.4 juta.

Menurutnya  melalui  Institut Inovasi  Strategik Johor (IISJ), kerajaan negeri memperuntukan  sejumlah RM420 ribu untuk membiayai  tujuh Inisiatif Strategik,  antaranya mempertingkatkan industri hiliran sumber mineral Johor, pengenalan sistem pengawasan pengangkutan awam pintar Negeri Johor, e-Mualaf bagi Institut Latihan Saudara Baru Johor, pengurusan dan penggunaan sisa sawit yang lebih baik, membangunkan proses pengayaan Gas Metana, membangunkan platform atas talian untuk rangkaian pembangunan belia Johor dan membangunkan Dasar dan Garis Panduan Senibina Masjid Johor.

“Manakala Pusat Kecemerlangan UTM-IRDA Digital Media Centre (Magic X) akan menjadi rakan kerjasama  dalam meningkatakan kapastiti dan persaingan dalam kalangan usahawan digital di Johor,”  katanya yang ditemui selepas pembentangan  Bajet Negeri Johor Tahun 2017 oleh YAB Dato’ Mohamed Khaled b. Nordin, Menteri Besar Johor di Persidangan Dewan Negeri Johor hari ini.

Profesor Wahid berkata, pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga memberi pengiktirafan kepada Ketua Kumpulan Penyelidik Penyelidik Geokejuruteraan dan Geobencana, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) Prof Madya Dr. Edy Tonizam Mohamad untuk  bekerjasama melakukan kajian kebolehupayaan sumber air bawah tanah yang meliabtkan peruntukan sejumlah RM1 juta.

“Pada masa yang sama bagi meningkatkan kapasiti dan kepakaran mengenai isu-isu air, UTM turut dinobatkan sebagai antara rakan kerjasama IPT dan NGO bagi penganjuran Johor Water Forum 2017.

“Sebagai mewakili IPT tempatan, beliau akan memastikan projek-projek  yang diamanahkan ini mampu dilaksanakan dan benar-benar memberi manfaat kepada Kerajaan dan rakyat Johor. Pada masa yang sama  beliau akan memastikan projek ini dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Tema Bajet Johor  2017 adalah Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera,  dan  anggaran perbelanjaan untuk 2017 adalah sebanyak RM1,607,697,000 dan jumlah ini menyaksikan peningkatan 12.89% berbanding tahun 2016.

Dijangkakan pada tahun 2017 kutipan hasil engeri akan mencapai RM1,609 juta iaitu peningkatan sejumlah 12.86% daripada 2016.

Misi bajet 2017 dinyatakan oleh YAB Menteri Besar adalah untuk membangun kemakmuran material, mewujud kesejahteraan sosial, memperkasa potensi insan.

Hasrat Kerajaan Johor  adalah untuk menjadikan Johor sebagaii Kuasa Ekonomi Selatan dan kuasa ekonomi baru Malaysia dan rantau Asia Tenggara  dan 2017 dianggap sebagai tahun pecutan.

Explore More