Disember 25, 2024

Persekitaran UTM banyak bantu pengaruhi kejayaan mahasiswa

Mohd. Anas Asalem dan Ooi Ennie
Mohd. Anas Asalem dan Ooi Ennie menunjukkan pingat yang diterima daripada Canselor UTM DYMM Raja Zarith Sofiah bt Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2016 –  Persekitaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Universiti Penyelidikan (UA) banyak pengaruhi kejayaan mahasiswa dalam pengajian sehingga bergelar graduan terbaik.

Perkara ini diakui oleh dua graduan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, Mohd. Anas Asalem dan Ooi Ennie selepas acara Majlis Konvokesyen ke- 57 UTM yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar hari ini.

Mohd. Anas, 23, berkata persekitaran pembelajaran di UTM adalah amat selesa kerana kemudahan penyelidikan yang lengkap serta kakitangan akademik yang berpengalaman.

“Saya tidak nafikan bahawa UTM adalah sebuah tempat yang amat selesa untuk belajar dan faktor ini menjadi sebab utama saya berjaya mencapai apa yang telah saya ada pada hari ini,” ujar anak kelahiran Teluk Intan.

Beliau memulakan pengajian pada tahun 2012 dan berjaya menamatkan pengajian serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dengan Purata Nilai Gred 3.67.

Pendapat beliau disokong oleh rakan seperjuangannya, Ooi Ennie, 23, yang juga penerima anugerah sama. Graduan Sarjana Muda Psikologi dengan Pengurusan Sumber Manusia itu berkata, selain dari persekitaran pembelajaran yang kondusif, aktiviti pelajar juga banyak membantu mahasiswa dalam mengukuhkan pencapaian akademik.

“Apabila tertekan dengan pengajian, pelajar akan menyertai kegiatan mahasiswa sebagai satu cara untuk menghilangkan tekanan buat seketika.

“Sistem kurikulum di UTM tidak menyekat pelajar untuk menyertai mana-mana persatuan mahasiswa.  Sebagai pelajar, anda berhak membuat pilihan untuk menyertai mana –mana persatuan yang ada mengikut minat anda,” katanya.

Persatuan mahasiswa di UTM juga menurutnya lagi bersifat membina kemahiran insaniah dan banyak membantunya melegakan tekanan pengajian. Wanita kelahiran pulau mutiara ini kini berkhidmat sebagai konsultan di sebuah firma sumber manusia di Singapura.

Explore More