JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2016 – Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah bt Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UTM Ke-57, bagi menyampaikan ijazah kepada 564 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, hari ini.
Baginda juga berkenan memashyurkan pelantikan Tan Sri Dato’ Dr. Lin See Yan sebagai Pro Canselor yang baharu bagi menggantikan Yang Berhormat Dato’ Dr Mohd Ridzuan Haji Salleh yang telah tamat perlantikannya pada 15 Mac 2016. Baginda kemudiannya berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada mantan Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Dr Ismail Khailani.
Semasa bertitah, baginda mengingatkan graduan bahawa Bahasa Inggeris memainkan peranan amat penting dalam era globalisasi.
Titah baginda, bagi menjadi seorang yang lebih menonjol dan menyerlah dalam dunia pekerjaan, mereka bukan sahaja dinilai melalui keputusan akademik yang diperolehi, namun kemahiran berkomunikasi dalam bahasa berkenaan dengan baik turut diambil kira.
“Saya amat berbangga apabila ramai anak Malaysia yang berjaya menempa nama, kejayaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa sekali gus berjaya menguasai bahasa lingua franca dengan fasih sekali.
“Saya mengesyorkan agar semua staf akademik dan staf pentadbiran dapat menguasai kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa inggeris supaya semua urusan dengan pihak luar dapat disempurnakan dengan lancar,” titah baginda.