April 20, 2024

Search
Close this search box.

Konvokesyen ke-52: 2,340 graduan terima ijazah

DSC_3207JOHOR BAHRU, 24 Mei 2014: Seramai 2,340 orang graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Ijazah dan Diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen ke 52 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Mereka terdiri daripada 216 graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,200 Sarjana, 843 Sarjana Muda dan 81 Diploma.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 594 orang adalah graduan antarabangsa dari 39 buah negara. Graduan dari Iran mencatat jumlah tertinggi dengan seramai 249 orang diikuti oleh Iraq 66 orang dan Nigeria seramai 63 orang.

Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan pada sesi pertama bersama Pro Canselor Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Yahya bin Awang sementara sesi kedua pula akan disampaikan oleh Pro-Canselor, YB Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan bin Hj. Mohd Salleh dan Y. Bhg. Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor.

Sementara itu, graduan Doktor Falsafah (Kejuruteraan Polimer) Saiful Izwan bin Abd Razak dan Doktor Falsafah (Sains Komputer) Faizal Abdulkarem Qasem Saeed dari Yemen menerima anugerah Canselor.

Manakala lapan graduan menerima anugerah Pro-Canselor pada konvokesyen kali ini. Mereka terdiri daripada Huda bin A Majid, Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik), Yasser S M Alajerami, Doktor Falsafah (Fizik), Siti Nor Fariza binti Mior Mohd Tahir, Sarjana Kejuruteraan (Awam-Struktur), Ihsan bin Wan Azelee, Sarjana Sains (Kimia), Nur Faizah binti Fazri, Sarjana Sains (Sains Forensik), Mohammad Iqram bin Amzirin, Sarjana Sains (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar), Abdelsalam H Busalim, Sarjana Sains (Teknologi Maklumat-Pengurusan) dan Auwalu Muhammad Abdullahi, Sarjana Kejuruteraan (Elektrik-Mekatronik dan Kawalan Automatik).

Pada konvokesyen kali ini, UTM berjaya melahir enam graduan sulung. Mereka terdiri daripada lima graduan Sarjana Sains Rekabentuk Bandar Lestari dari UTM Razak School of Engineering and Advanced Technology dan seorang graduan Sarjana Falsafah, Fakulti Tamadun Islam.

Explore More