April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM berjaya kekal status Universiti Penyelidikan

JOHOR BAHRU, 3 Disember – Penilaian tapak selepas tiga tahun pengiktiratan bagi Universiti Teknologi Malaysia telah dijalankan selama dua hari bermula pada 20 hingga 21 Mei 2013. Seramai sembilan orang panel dari IPTA telah memberikan sumbangan dalam menjalankan penilaian. YBhg. Prof. Dr. Normah binti Omar telah dilantik selaku Ketua Panel bagi penilaian tapak untuk Universiti Teknologi Malaysia pada kali ini.

Hasil keputusan audit menunjukkan Universiti Teknologi Malaysia berjaya mengekalkan status Universiti Penyelidikan dan dianggap telah mencapai tahap matang setaraf dengan empat Universiti Penyelidikan sedia ada. UTM berjaya melepasi skor purata minima 87.5 dan skor tahunan yang melepasi 100 mata dengan memperoleh 101.5 markah. Jawatankuasa Penilai juga telah memutuskan bahawa bermula tahun 2013, UTM akan dinilai berdasarkan instrumen MyRA II.

Kejayaan UTM dalam mengekalkan status Universiti Penyelidikan sememangnya menyuntik semangat juang dan memberi impak yang besar kepada warga akademik UTM. Strategi pemerkasaaan budaya penyelidikan berjaya dipertingkatkan dan telah mengukuhkan kedudukan UTM di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, terdapat beberapa kekuatan yang menyumbang kepada pencapaian UTM. Antara penyumbang ini adalah Sistem Penyelidikan dan Pembangunan Maklumat (RADIS) yang diguna pakai di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Sistem Kewangan UTM FIN dan Tracking Project Penyelidikan yang dibina pada tahun 2012 yang didapati lebih efisien berbanding dengan sistem manual yang lama. Research Alliance Concept yang diwujudkan berjaya memberi kesan strategik bagi meningkatkan jumlah penyelidik di UTM. Di samping itu, jumlah geran dari sumber industri dan antarabangsa yang tinggi juga menyumbang kepada pencapaian cemerlang UTM.  Kini, pelbagai strategi telah dirancang oleh Pengurusan Tertinggi UTM dalam menghadapi MyRA II agar status Universiti Penyelidikan dapat dikekalkan.

Akhirnya, semoga hasrat murni UTM bagi mengangkat martabat dan mentransformasi bidang penyelidikan ke arah yang lebih gemilang mampu diterjemahkan melalui konsep perkongsian saksama dan pintar di antara PTJ-PTJ di dalam UTM sekali gus menyumbang impak yang lebih positif kepada rakyat dan negara.

Staf UTM menyediakan laporan untuk diaudit.
Staf UTM menyediakan laporan untuk diaudit.

Explore More