Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dato’ Seri Dr Zaini Ujang menyifatkan pemergian Tan Sri Ainuddin Wahid adalah satu kehilangan besar kepada negara.

Ainuddin, 84 berkelulusan sarjana muda kejuruteraan awam dari Universiti Bristol pada tahun 1956 dan ijazah lanjutan kejuruteraan jalan raya dari Universiti Ohio pada tahun 1961 merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969.

Sebagai pengetua yang berwawasan, beliau telah melakukan tranformasi dengan menukarkan nama dan taraf MTKL kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada tahun 1972 dan UTM pada tahun 1975.

Beliau telah mencurahkan khidmat baktinya selama 20 tahun tanpa rasa jemu sejak dari MTKL bagi meningkat taraf sosio ekonomi anak bangsa Melayu sehingga tamat kerjayanya sebagai Naib Canselor UTM pada tahun 1989.

Jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan tinggi amat banyak, antaranya memperkenalkan Sistem Prelim bagi mengimbangi komposisi antara kaum di Maktab Teknik dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera Melayu.

Sebagai jurutera profesional yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Ainuddin menjadikan UTM sebagai pengeluar utama golongan profesional bumiputera dalam bidang kejuruteraan, senibina, juru ukur, guru sains dan matematik.

Allahyarham turut memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Islam/Moral di universiti dan menjadi individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam.

Beliau telah merintis jalan kepada penubuhan dua buah kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai Johor yang sehingga kini telah mengeluarkan seramai 124 ribu graduan.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Ainuddin menjadikan UTM antara universiti yang dikenali di peringkat antarabangsa.