Disember 28, 2024

UTM-Khidmat Komuniti: ilmu untuk masyarakat dan negara


Program UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement (UTM-IPGCE) merupakan salah satu inisiatif universiti bagi menyemarakkan gelombang kesukarelawanan di kalangan warga kampus. Selain itu, program ini diadakan untuk menggalakkan pelajar dan staf membuat kerja-kerja kebajikan yang dapat menjadi nilai tambah dalam pembangunan modal insan, mempromosikan universiti kepada masyarakat setempat serta mengukuhkan lagi hubungan antara warga kampus, organisasi dan penduduk setempat selari dengan slogan khidmat komuniti universiti Engaging for a better future.

Program ini berlangsung selama 4 hari bermula pada 7 Mac hingga 10 Mac 2013 di Kampung Sepakat, Masai, Johor. Pemilihan lokasi adalah kerana kedudukannya yang strategik di mana ia berdekatan dengan kawasan perindustrian yang merupakan peluang bagi universiti untuk menjalinkan hubungan dengan pihak industri termasuk pekerja. Selain itu, terdapat ramai alumni universiti di kawasan ini yang boleh berperanan sebagai penghubung kepada masyarakat setempat. Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi pada 9 Mac 2013 bersamaan hari Sabtu pada pukul 10.00 pagi.

Pelbagai aktiviti yang melibatkan warga kampus dan masyarakat setempat telah dilaksanakan sebagai pengisian kepada program selama 4 hari ini. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah bengkel pengurusan masa dan tekanan, language camp, Projek UTM-Reading station, Projek Social Entrepreneurship, pameran dan kaunter perkhidmatan, gotong royong serta program keluarga angkat.  Melalui Bengkel pengurusan masa dan tekanan, para pelajar telah didedahkan dengan teknik-teknik pengurusan stress yang praktikal dan berkesan. Bengkel ini dikendalikan oleh Pusat Kaunseling dan Kerjaya UTM. Language Camp pula melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah tahun 6 dimana mereka telah didedahkan dengan teknik menulis, mendengar dan bertutur dalam Bahasa Inggeris melalui aktiviti-aktiviti yang santai.

UTM Reading station sumbangan universiti kepada sekolah-sekolah merupakan konsep sudut bacaan yang diperkenalkan oleh UTM bagi meningkatkan minat membaca dikalangan masyarakat. Ia merupakan sudut bacaan yang berkonsepkan santai dan buku-buku pula adalah terdiri dari bahan bacaan ringan yang bersesuaian hasil dari sumbangan orang ramai. Suasana dan bahan bacaan yang santai sudah pasti menarik minat masyarakat terutama pelajar sekolah untuk menanam sikap minat membaca. Projek Social Entrepreneurship pula merangkumi aktiviti bengkel simenfero yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara-cara penghasilan lanskap taman yang berinovasi manakala bengkel membuat kek membolehkan peserta mengetahui teknik menghias kek di mana ilmu ini dapat membantu menambah kemahiran dan meningkatkan kreativiti yang boleh menjana pendapatan sampingan.

Program keluarga angkat pula telah melibatkan 21 keluarga masyarakat setempat dan 60 mahasiswa dari Kolej Perdana. Mahasiswa banyak didedahkan dengan kehidupan sebenar masyarakat setempat sepanjang tinggal bersama selama 4 hari program berlangsung. Program Majlis penyerahan anak angkat telah disempurnakan oleh ADUN Permas, Datuk M. Munusamy  pada 7 Mac.

Explore More