PORT DICKSON, 14 Februari 2013: Buku “Menyubur Kembali Jiwa Akademia” tulisan Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Dr Zaini Ujang yang digunakan untuk perutusan tahun baru 2013 cuba menyerap adab dalam diri setiap warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pengarah Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM, Prof. Dr Wan Mohd Noor Wan Daud berkata, jiwa akademia bukan merujuk kepada sarjana sahaja tetapi kepada seluruh masyarakat universiti.
Menurutnya, perkataan akademia yang digunakan oleh Naib Canselor dalam bukunya bermaksud seluruh tenaga yang menggerak universiti, manakala akademik khusus merujuk kepada tenaga pengajar di universiti.
“Dalam hal ini tugas menjayakan wawasan untuk martabatkan UTM menjadi universiti tersohor di dunia adalah peranan seluruh warga UTM bermula dari Naib Canselor hingga kepada staf yang paling bawah.
“Perpustakaan, pejabat, bilik kuliah mahupun makmal komputer bukanlah jiwa kepada pengajian tinggi, sebaliknya manusia yang mengendalikan universiti dari peringkat teratas hingga ke peringkat paling bawah.
“Oleh itu, semua pihak harus memancarkan budaya ilmu dan adab kerana pendidikan adalah penyerapan adab terhadap ilmu,” katanya semasa menyampaikan ceramah bertajuk “The Soul of Higher Education” di Bengkel Pemahaman dan Pelaksanaan Perutusan Naib Canselor 2013 Bagi Staf Canseleri di Port Dickson, hari ini.
Prof. Dr Wan Mohd Noor berkata, buku berkenaan cuba melandaskan tujuan pendidikan di UTM untuk melahirkan graduan yang pintar dan beradab, yang menggunakan ilmu untuk kesejahteraan dan kemakmuran manusia sejagat.
“Sekiranya universiti melahirkan graduan yang pintar dan hebat tetapi tidak beradab maka akan rosaklah tamadun kerana pendidikan adalah penerapan adab dalam diri.
“Pendidikan tidak seharusnya disempitkan kepada akademik sahaja seperti mana yang berlaku di barat yang mana mereka maju dalam penyelidikan tetapi telah hilang adab,” katanya.
Menurutnya, beliau menyertai UTM kerana tertarik dengan peribadi Naib Canselor yang menghayati budaya ilmu, bercakap mengenai ilmu semasa beliau masih menuntut, bukan atas kapasiti Naib Canselor, menghayatinya dan hormat kepada sarjana.
“UTM adalah sebuah universiti unik yang memperjuangkan Islam secara komprehensif yang mengutamakan adab, budaya ilmu serta mahu melepasi kerangka Universiti Penyelidikan yang sempit.
“Dalam kerangkanya UTM menggunakan slogan Kerana Tuhan Untuk Manusia dan kaitkan budaya ilmu sebagai akar yang menyuburkan buah,” katanya.
Katanya, agenda yang dibawa oleh Naib Canselor UTM harus diperjuangkan bersama sebab bukan sekadar untuk mendapatkan status Universiti Penyelidikan tetapi wawasan pendidikan negara.