April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM perolehi TIER 5 D-SETARA dalam Bidang Kejuruteraan

JOHOR BAHRU, 31 Januari 2013: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengekalkan kedudukan menjadi pusat pengajian tinggi terbaik dalam bidang kejuruteraan di negara ini apabila berjaya memperolehi Tier 5 dalam Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (D-SETARA).

Pengarah Kualiti UTM, Prof. Dr. Abdul Samad Ismail berkata, penarafan itu dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam beberapa disiplin pengajian.

Selain UTM, universiti yang mendapat Tier 5 dalam disiplin kejuruteraan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Curtins dan Universiti Monash.

Menurutnya, keputusan berkenaan melengkapkan pencapaian UTM yang sebelum ini telah mendapat Tier 5 dalam SETARA.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjadikan UTM berada pada kedudukan terbaik di Malaysia dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam menyediakan data dan dokumentasi SETARA dan D-SETARA.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Dr Zaini Ujang melahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat sehingga UTM berjaya mendapat D-Setara Tier 5.

“Semoga usaha gigih dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan menjadi UTM Institutional DNA yang berkekalan!,” katanya.

Explore More