April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM sedia biasiswa Endowmen RM2.5 juta untuk 150 mahasiswa

JOHOR BAHRU, 8 Januari: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan biasiswa sebanyak RM 2.5 juta menerusi Tabung Endowmen kepada 150 mahasiswa cemerlang pada 2012.Naib Canselor, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, biasiswa berkenaan diberikan kepada mahasiswa ijazah pertama berjumlah RM12 ribu setahun.

Menurutnya, biasiswa berkenaan diberikan setiap tahun sehingga mereka menamatkan pengajian dengan syarat berjaya mengekalkan pencapaian gred kumulatif (CGPA) 3.75 pada setiap semester.

“Selain cemerlang dalam bidang akademik calon penerima biasiswa  perlu cemerlang dalam bidang kokurikulum dan mereka tidak tertakluk dengan sebarang ikatan perjanjian dengan UTM.

“Buat permulaan seramai 52 mahasiswa sesi akademik 2011/2012 menerima biasiswa yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di UTM, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman akan dibuat pada akhir Januari ini bagi calon yang berminat memohon untuk mendapatkan biasiswa berkenaan.

Tabung berkenaan yang diwujudkan pada awal tahun 2010 telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM31.9 juta menerusi sumbangan orang ramai, alumni UTM, staf, persatuan pelajar dan kakitangan UTM, selain sektor korporat, pertubuhan dan persatuan.

Prof. Zaini berkata, UTM juga turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti program penajaan buku yang diterbitkan oleh Penerbit UTM Press, menganjurkan kejohanan golf dan pelaburan dalam industri kewangan dan tabung amanah.

“Selain pemberiaan biasiswa, UTM akan melaksanakan program endowmen bagi menaja Kerusi Profesor dan program khas pembinaan makmal termaju, smart class room seperti Sekolah Perniagaan Harvard,” katanya.

Explore More