April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM miliki 10,888 mahasiswa lepas ijazah

UTM mengeluarkan graduan lepas ijazah dalam bidang sains dan teknologi terbanyak di negara ini.

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi antara pusat pengajian tinggi yang mempunyai bilangan mahasiswa lepas ijazah paling ramai di negara ini dengan jumlah 10,888 orang pada November lalu.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, mereka mewakili 46 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di UTM.

Menurutnya, peningkatan mahasiswa yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) itu menghampiri sasaran UTM untuk mengimbangi bilangan mahasiswa sarjana muda yang berjumlah 12,955 orang pada Disember 2011.

Pada masa ini UTM mempunyai seramai 3,439 mahasiswa  yang sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD membabitkan 1,823 mahasiswa tempatan dan 1,616 antarabangsa.

Manakala 7,449 mahasiswa sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana yang terdiri daripada 5,343 warga tempatan dan 2,106 antarabangsa.

Semua mahasiswa PhD mengikuti pengajian secara penyelidikan dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti berkenaan selaras dengan status UTM sebagai Universiti Penyelidikan.

Bagi mahasiswa sarjana, seramai 1,576 mengikuti pengajian secara penyelidikan, 4,655 kerja khusus dan 1,218 campuran penyelidikan dan kerja khusus.

Zaini berkata, pertambahan jumlah mahasiswa lepas ijazah mampu mengekalkan UTM sebagai universiti paling banyak mengeluarkan graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi di peringkat lepas ijazah di negara ini.

Sehingga Oktober 2011, UTM menjadi antara universiti paling popular di kalangan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan dan teknologi berbanding dengan Universiti Penyelidikan lain di negara ini dengan jumlah 42.61 peratus.

Kedudukan UTM yang tergolong dalam 200 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi berdasarkan penarafan oleh QS World University Rankings 2011 menyumbang kepada pertambahan bilangan mahasiswa dari luar negara.Kejayaan UTM mendapat status Univesiti Penyelidikan turut menyumbang kepada peningkatan bilangan mahasiswa di peringkat lepas ijazah termasuk 3,175 orang dari luar negara.

Selain itu, langkah UTM memperkenalkan PhD Industri berjaya menarik ramai tenaga kerja professional dari sektor industri melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di UTM.

Pada masa ini seramai 57 kakitangan industri sedang mengikuti pengajian di UTM menerusi program PhD Industri melalui pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi yang bertujuan melahirkan 500 tenaga kerja industri berkelulusan PhD menjelang tahun 2015.

Jumlah berkenaan menjadikan UTM sebagai pusat pengajian tinggi paling banyak  menerima biasiswa PhD Industri dari jumlah 100 peruntukan yang disediakan oleh KPT bagi tahun 2011.

Antara syarikat yang menghantar pekerja menyertai program berkenaan ialah Proton Berhad, Morotola Solutions Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, TM R&D Sdn Bhd, TM Applied Business Sdn Bhd, UCSI and Aviation Sdn Bhd dan Optimal Olefins Sdn Bhd.

Explore More