April 25, 2024

Search
Close this search box.

Sumber: Berita Harian                                                                                                                                                                                                                                                                  Tarikh: 17 Ogos 2011                                                                                                                                                                                                                                                                   Oleh Feroz Abu Bakar

WALAUPUN negara ini mempunyai sumber air yang banyak sama ada air permukaan atau bawah tanah, pencemaran sungai memberi cabaran kepada usaha membekalkan air bersih. Pengumpulan dan pengagihan air bersih terutama untuk minuman menjadi penanda aras kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat.

Walaupun sebahagian besar penduduk negara sudah mempunyai bekalan air bersih, masih ada ruang untuk mempertingkat mutu bekalan air kepada pengguna domestik. Air paip yang kini perlu dimasak sebelum diminum boleh diproses ke satu tahap lebih tinggi, iaitu boleh terus diminum dari paip seperti bekalan air di negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS).Selain isu pencemaran sungai, pemanasan global juga memberi kesan kepada bekalan air bersih kerana kajian menunjukkan suhu air yang lebih tinggi sedikit akan menggalakkan pembiakan bakteria yang membawa taun.Penyelidikan Prof Dr Rita R Colwell mendapati penyakit berjangkit berkait rapat dengan alam sekitar dan amat penting untuk pengguna memahami pertukaran musim, perubahan iklim serta punca kepada penyakit berjangkit.

Profesor di University of Maryland dan Johns Hopkins University, AS itu, berkata ekologi alam sekitar memainkan peranan sangat signifikan dalam wabak penyakit dan pengulangan coraknya.

Beliau berkata, organisme yang mengakibatkan taun tinggal dalam plankton atau zooplankton marin tetapi bakteria itu juga boleh hidup dalam air tawar yang mempunyai kaitan dengan plankton. Kajiannya menunjukkan wabak taun di Bangladesh meningkat ketika musim panas, iaitu ketika plankton membiak dengan banyak.

Colwell baru-baru ini mengunjungi Malaysia sebagai Wakil Khas Presiden AS Mengenai Sains ke Asia Selatan dan Asia Tenggara dalam usaha negara itu mengukuhkan hubungan dengan negara Islam.
Beliau melawat beberapa universiti dan institusi penyelidikan seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta berbincang dengan Penasihat Sains Kerajaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Colwell berkata, beliau kagum dengan perkembangan sains dan teknologi di Malaysia sama ada dari segi jumlah tenaga pakar atau teknologi yang dimiliki.

“Negara ini mempunyai lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) yang ramai. Faktor ini membantu Malaysia untuk muncul sebagai pemimpin kepada negara Islam lain,” katanya di Kuala Lumpur.

Beliau mencadangkan universiti di negara ini menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di AS seperti Stanford University, Purdue University, University of Maryland dan Michigan State University yang masing-masing mempunyai pakar yang mengkhusus dalam bidang tertentu teknologi air.

Katanya, kerjasama itu patut dilakukan secara antara makmal dengan makmal membabitkan pertukaran penyelidik untuk tempoh kurang daripada setahun.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Zaini Ujang yang turut mengadakan perbincangan dengan Colwell, berkata negara ini akan mendapat manfaat khususnya dalam peningkatan kualiti bekalan air bersih menerusi kerjasama dengan makmal penyelidikan di AS.

Colwell yang juga Pengerusi Emeritus Canon US Life Sciences terkenal selepas penyelidikannya pada 1960-an berjaya membongkar bahawa bakteria taun boleh memasuki tahap tidak aktif dan kemudian aktif semula hingga mengakibatkan wabak.

Kajiannya bermakna walaupun taun tidak merebak, sungai, tasik dan laut boleh menjadi kawasan simpanan kepada bakteria berkenaan. Penemuan itu menafikan pengetahuan sebelum itu bahawa taun hanya boleh merebak menerusi pelepasan air kumbahan. Hasil kajiannya membolehkan saintis melihat kaitan antara alam sekitar dengan wabak penyakit.

Tahun lalu, beliau menerima Anugerah Air Stockholm atas sumbangannya dalam penyelidikan kesihatan air dan rangkaian antara negara maju dengan negara sedang membangun dalam menyediakan air bersih.

Explore More