April 24, 2024

Search
Close this search box.

Kalam UTM anjur konvensyen antarabangsa

JOHOR BAHRU 16 Ogos – Pusat Kajian Alam Melayu (Kalam) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengadakan Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis November ini bagi membincangkan pelbagai aspek mengenai warisan etnik tersebut.

Pengarahnya, Dr. Raja Nafidah Raja Shahminan berkata, konvensyen yang pertama kali diadakan itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu sejarah, kebudayaan dan senibina.

Menurutnya, Kalam telah membuat kajian mengenai senibina rumah masyarakat Bugis di Makasar, Sulawesi untuk dibandingkan dengan rumah Bugis yang terdapat di daerah Pontian.

“Kami membuat kajian dan melukiskan semula reka bentuk 30 buah rumah Bugis yang terdapat di Makasar dengan kerjasama Universiti Hasanuddin sejak dua tahun lalu.

“Hasil kajian yang dilakukan kami dapati hanya tiga buah rumah Bugis di daerah Pontian yang mirip dengan rumah Bugis yang terdapat di Sulawesi dan selebihnya berbentuk rumah Limas,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua lukisan senibina dan model rumah Bugis di Makasar dan Johor akan dipamerkan sempena konvensyen itu untuk tontonan orang ramai.

“Kalam akan membawa tiga kumpulan kesenian masyarakat Bugis dari Sulawesi, Selangor dan Johor untuk mengadakan persembahan kebudayaan pada konvensyen yang mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada Persatuan Bugis di Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Raja Nafidah berkata, setakat ini, sebanyak 20 kertas kerja telah diterima dan jumlah berkenaan dijangka bertambah kerana pihaknya percaya akan menerima lebih banyak penyertaan daripada pelbagai pihak yang berminat.

Mereka yang berminat menyertai konvensyen itu boleh menghubungi urus setia di talian 019-7954600, 07-5530511 atau menghantar e-mel kepada utmkalam@gmail.com.

Sumber: Utusan Malaysia

Explore More