Disember 9, 2024

Search
Close this search box.
"Photo of Ceremony"

UTM dan SKMM meterai perjanjian persefahaman

SKUDAI, 26 Julai 2011: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkerjasama membangunkan teknologi mudah alih, penyiaran dan protokol internet bagi subsistem multimedia di rangkaian mudah alih.

Bagi tujuan berkenaan UTM menerusi Pusat Komunikasi Wayerles (WCC) dan SKMM akan membangunkan kemudahan makmal teknologi ‘Long Term Evolution’ (LTE) untuk latihan, demonstrasi dan penyelidikan teknologi 4G.

Teknologi LTE diperlukan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih pantas dan cekap kepada pengguna sejajar dengan perkembangan semasa.

Makmal LTE yang bakal beroperasi pada akhir tahun ini akan digunakan untuk melatih kakitangan industri telekomunikasi bagi menyediakan tenaga kerja yang lebih dinamik, kebolehpasaran dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga akan dapat membangunkan kemahiran profesional, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan dalam membina kepakaran dalam bidang komunikasi serta mewujudkan satu platform untuk pihak-pihak yang berkaitan dalam industri komunikasi dan multimedia.

Kerjasama andara UTM dan SKMM dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangan oleh Naib Canselor UTM Profesor Dato’ Ir Dr Zaini Ujang dan Pengerusi SKMM Tan Sri Khalid Ramli di UTM, dekat sini hari.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disaksikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Perlaksanaan MoU antara UTM dan SKMM ini akan melibatkan 3 fasa iaitu;

Fasa 1,     penubuhan perkongsian strategik dan mengenal pasti bidang kajian, perkongsian kemudahan latihan, amalan pertukaran maklumat dan modul, dan penyertaan dalam persidangan dan mesyuarat serantau/antarabangsa.

Fasa 2, penubuhan program penyelidikan dan pendidikan yang melibatkan akademik dan latihan.

Fasa 3,     kemajuan dalam perkongsian strategik, promosi hasil penciptaan dan pengkormesilan produk hasil penyelidikan dan pembangunan bersama.

Kerjasama dalam bidang strategi antara UTM dan SKMM merangkumi lima bidang iaitu LTE, penyatuan teknologi selular dan penyiaran, subsistem multimedia, protokol internet dalam rangkaian selular dan kajian berkaitan pancaran frekuensi radio.

UTM telah memainkan peranan yang penting dalam usaha piawaian komunikasi selular generasi ketiga (3G) di Malaysia dalam 4 bidang penyelidikan utama iaitu rekabentuk antena (antenna design), Perambatan Gelombang (Wave Propagation), Sistem Komunikasi Wayarles (Wireless Communication System) dan Sistem Komunikasi Radio Frequensi dan Gelombang Mikro (Radio Frequency and Microwave Communication System).

MOU ini selaras dengan seruan ke arah aktiviti inovasi dan kreativiti untuk mendorong Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 melalui Rancangan Malaysia ke-10, Model Ekonomi Baru dan Pelan Transformasi Kerajaan.

Explore More